Wednesday, March 29, 2023

PERBADANAN PUTRAJAYA JALIN KERJASAMA DENGAN FAVORIOT, GUNA PAKAI PLATFORM IOT BANDAR PINTAR BAGI MEWUJUDKAN PENYELESAIAN BANDAR PINTAR YANG BAHARU DAN INOVATIF

PUTRAJAYA, 28 Mac (Bernama) --  Perbadanan Putrajaya (PPj) mengadakan kolaborasi dengan Favoriot Sdn. Bhd. di dalam penyediaan platform IoT Bandar Pintar. Ini adalah bagi meningkatkan dan mewujudkan penyelesaian Bandar Pintar baharu dan inovatif seperti yang telah dinyatakan di dalam Pelan Tindakan Bandar Pintar Putrajaya. 
 
Platform Favoriot merupakan sebuah projek perintis yang dibiayai oleh National Technology Innovation Sandbox (NTIS) di bawah kategori Single Site Innovation Sandbox. Perjanjian yang ditandatangani pada 9 Disember 2022 di antara PPj dan Favoriot Sdn. Bhd. adalah bagi mengesahkan kerjasama di antara kedua belah pihak berkaitan penggunaan  Platform Favoriot sebagai platform IoT Bandar Pintar. Platform ini bertujuan untuk mengumpul dan menyelaraskan data daripada pelbagai jenis sensor sedia ada di Putrajaya. 
 
Platform Favoriot adalah perisian IoT sistem terbuka yang boleh menerima data daripada pelbagai jenis penderia IoT yang dihasilkan oleh pelbagai vendor. Ini membolehkan Perbadanan Putrajaya mengintegrasikan penyelesaian IoT yang berbeza ke dalam satu papan pemuka berpusat yang dipaparkan di Pusat Pemantauan dan Kawalan Putrajaya (Putrajaya Command Centre). 
 
Pada masa kini di mana pelbagai penyelesaian IoT boleh ditawarkan oleh pelbagai pihak, ia boleh menjadi cabaran untuk mengurus pelbagai format data dengan pelbagai papan pemuka untuk dipantau. Oleh itu, platform Favoriot membolehkan penyelarasan penderia IoT daripada pelbagai vendor yang mematuhi protokol standard untuk dipaparkan dan diuruskan secara berpusat di Putrajaya Command Centre. 
 
PPj menerusi Pelan Tindakan Bandar Pintar sedang mewujudkan sebuah bandar yang menggunakan peranti IoT yang saling berhubung di antara satu sama lain melalui infrastruktur IoT di Putrajaya. PPj juga sedang mengembangkan pembangunan dan penggunaan IoT di Putrajaya termasuk di dalam pemantauan infrastuktur dan alam sekitar. Sehubungan dengan itu, PPj sangat menghargai inisiatif pihak kerajaan melalui National Technology Innovation Sandbox (NTIS), di mana ia memberikan PPj satu penyelesaian baharu yang inovatif bagi membantu menguruskan bandaraya dengan lebih baik .
 
PPj menyasarkan Putrajaya menjadi model contoh kepada bandar-bandar lain dalam menggunakan pendekatan "inovasi dan percubaan-sebelum-komersial" melalui makmal hidup (live lab). Makmal hidup ini turut menyediakan tempat yang sesuai untuk bandar lain memahami bagaimana Bandar Pintar benar-benar beroperasi. 
 
Projek Sandbox ini juga membantu memberikan input kepada Garis Panduan Piawaian Bandar Pintar Negara. Sebagai langkah ke hadapan, Favoriot dan Perbadanan Putrajaya juga akan dapat menyediakan latihan IoT di Putrajaya untuk menggalakkan pertumbuhan bakat IoT tempatan. 
 
Projek Sandbox ini dilaksanakan menggunakan Model Build-Operate-Transfer, di mana Perbadanan Putrajaya akan mengendalikan dan menguruskan Platform IoT Bandar Pintar. Projek ini telah pun mencapai kejayaan penting yang mana beberapa penyelesaian IoT sedia ada di Putrajaya telah diselaraskan dan kini dikendalikan di Putrajaya Command Centre. 
 
Mengenai Perbadanan Putrajaya 
 
Perbadanan Putrajaya (PPj) diwujudkan di bawah Akta Perbadanan Putrajaya 1995 (Akta 536) yang bertujuan untuk mengurus dan mentadbir Wilayah Persekutuan Putrajaya. PPj turut diamanahkan dengan fungsi-fungsi pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa perancangan tempatan. PPj menggunakan teknologi di dalam menguruskan operasi perbandaran dan ini menjadi contoh kepada bandar-bandar lain. Objektif Pelan Tindakan Bandar Pintar Putrajaya adalah untuk memandu dan membuat pengesyoran kepada PPj serta jabatan-jabatan berkaitan dan agensi-agensi di Putrajaya di dalam merangka dasar, strategi dan pelan tindakan di dalam mengimplementasikan Bandar Pintar Putrajaya. 
 
Mengenai Favoriot 
 
Favoriot adalah syarikat permula IoT yang memulakan operasi mereka pada 2017 dengan visi untuk "mengIoTkan semua perniagaan". Favoriot menawarkan platform IoT mesra pengguna yang telah diguna pakai oleh lebih 6700 pembangun dari 121 negara di seluruh dunia. Favoriot juga menawarkan latihan IoT daripada Asas ke peringkat Pakar dengan objektif untuk mencipta "Generasi-IoT" baharu untuk mengisi jurang bakat IR 4.0 di negara ini. Sebagai teknologi buatan tempatan, platform Favoriot kini telah digunakan oleh pelbagai industri, badan kerajaan dan ahli akademik.  

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=16957

No comments:

Post a Comment