Wednesday, March 1, 2023

MAJLIS PERASMIAN PENAMAAN PERPUSTAKAAN TUN AHMAD SARJI & PELANCARAN PENERBITAN KHAS BERTAJUK TREASURE TROVE OF ETHICS: THE NICHE OF TUN AHMAD SARJI LIBRARY



KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 23 Februari telah melancarkan majlis Perasmian Penamaan Perpustakaan Tun Ahmad Sarji & Pelancaran Penerbitan Khas bertajuk Treasure Trove of Ethics: The Niche of Tun Ahmad Sarji Library. Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi bin Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Majlis ini menjadi batu tanda kepada inisiatif IKIM dalam memupuk dan meningkatkan kefahaman Islam, bukan sekadar sebagai agama tetapi juga sebagai tamadun yang kuat dan utuh.

Perpustakaan IKIM yang kini dikenali sebagai Perpustakaan Tun Ahmad Sarji ditubuhkan pada tahun 1992, memainkan peranan sangat penting sebagai gedung ilmu yang mengandungi buku dan rujukan umum yang berwibawa. Bahkan cukup istimewa kerana perpustakaan IKIM yang juga dikenali sebagai “perpustakaan khusus” untuk para penyelidik dan ilmuwan—atau istilah teknikalnya special library, memiliki khazanah buku-buku nadir yang antaranya berusia 1,700 tahun.

Pada awal tahun 2011 pula, IKIM mengorak langkah untuk menjadikan bidang etika dan nilai-nilai akhlak sebagai niche Perpustakaannya untuk jangka masa panjang. Koleksi Etika Perpustakaan Tun Ahmad Sarji (nama baharu) merangkum korpus tentang nilai-nilai luhur tamadun Islam dan Barat serta peradaban Timur yang lain. Koleksi ini meliputi wacana pelbagai bidang ilmu etika, dengan perolehannya dibantu oleh para penyelidik yang pakar dalam bidang mereka. Bahasa Arab, Inggeris dan Melayu menjadi lingua franca utama himpunan buku tersebut. Justeru Koleksi Etika merupakan satu daripada tiga koleksi utama Perpustakaan Tun Ahmad Sarji, di samping dua koleksi lain iaitu Koleksi Tamadun Islam dan Koleksi Umum.

Koleksi Khas Tamadun Islam (KTI) sebanyak 8,064 jilid dalam lebih 20 bahasa merangkumi pelbagai aspek peradaban Islam dan diterbitkan antara kurun ke-17 hingga awal kurun ke-20 Masihi. Himpunan karya berharga ini asalnya merupakan koleksi peribadi tiga sarjana dalam bidang peradaban Islam di Amerika Syarikat, iaitu Prof. Dr. Maan Zilfo Madina, Dr. Marilyn Jenkins-Madina, dan Prof. Emeritus Dr. Jerome W. Clinton.

UNIT PERHUBUNGAN KORPORAT
23 FEBRUARI 2023

SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

No comments:

Post a Comment