Thursday, July 13, 2017

UPSI BAKAL ANJUR 'YOUNG INNOVATOR CHALLENGES 2017'

TANJONG MALIM, 11 Julai (Bernama) -- Fakulti Sains dan  Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak dan Dream Catcher Sdn. Bhd. akan menganjurkan 'Young Innovator Challenges 2017' pada 14 hingga 16 Julai 2017 bertempat di Dewan Konvensyen, Aras 5, Bangunan E-Learning, UPSI.

Menurut Dekan Prof. Madya Dr. Zulkifley Mohamed, program itu bermatlamat menjayakan agenda negara bagi membangunkan modal insan yang inovatif dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan selaras dengan Dasar Pendidikan Negara, membudayakan amalan penyelesaian masalah melalui Sains dan Teknologi dan mempromosi pembelajaran sepanjang hayat serta mengembangkan pemikiran kreatif, inovatif dan imaginatif dalam kalangan guru sains dan pelajar.

“Program ini tercetus ekoran minat belia Malaysia untuk mengikuti bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) di peringkat sekolah menengah dan pengajian tinggi yang semakin berkurangan seperti yang dilaporkan dalam Laporan Modal Insan Dan Sains 2015 oleh Akademi Sains Malaysia,”.

“Justeru dalam hal ini, UPSI sebagai sebuah universiti yang komited membawa perubahan  dalam pendidikan, mengambil langkah proaktif mempergiatkan lagi minat pelajar-pelajar sekolah di Malaysia terhadap bidang STEM melalui pelbagai kaedah yang terancang. Salah satunya ialah dengan menyertai program 'Young Innovators Challenge' yang mampu memberi pendedahan secara kreatif dan inovatif terhadap bidang Sains,” katanya.

No comments:

Post a Comment