Thursday, July 27, 2017

TEKNOLOGI PERTANIAN TEPAT JAMIN BEKALAN MAKANAN

YAN, 27 Julai (Bernama) — Teknologi pertanian tepat atau ‘precision farming’ merupakan platform baharu dalam mentranformasikan sektor pertanian bagi menjamin bekalan makanan di negara ini mencukupi.
Timbalan Menteri Kewangan I merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Datuk Othman Aziz berkata, pertambahan jumlah penduduk di Malaysia meningkat dengan pantas berbanding pertumbuhan pengeluaran pertanian, menjadikan jurang pergantungan kepada produk import, lebih besar.
“Cabaran menyediakan bekalan makanan kepada penduduk menjadi semakin getir dan kebergantungan kepada produk import boleh menjejaskan negara jika berlaku krisis bekalan makanan di negara pengeksport.
“Justeru, strategi baharu diperlukan bagi memastikan sumbangan sektor pertanian kepada pembangunan negara terus relevan, dan penggunaan teknologi tinggi ini merupakan asas untuk mentransformasikan sektor pertanian khususnya penanaman padi,” katanya sempena program Hari Sawah TN50 anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Mada dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Limau Dalam, di Estet Padi Batu 17 Sungai Limau di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Kuala Kedah merangkap Ahli Lembaga Pengarah Mada, Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin. Turut hadir Pengarah Mardi Kedah, Rashidan Ariffin dan Timbalan Pengurus Besar Pertanian Mada, Rubiah Lazim.
Sementara itu, Abdullah Hasnan pada sidang media, berkata, kerjasama antara Mardi, Mada dan PPK Sungai Limau Dalam itu dijangka dapat menarik minat dan penglibatan golongan muda terhadap  bidang pertanian.
“Ia juga dapat mewujudkan cara kerja pertanian dalam bentuk saintifik, mengurangkan penggunaan tenaga buruh, malah jangkaan faedah secara keuntungan yang optimum melalui pengurangan input ladang dan penjimatan kos operasi, serta dapat meningkatkan hasil padi.
“Usaha yang dilakukan di Estet Padi Batu 17 ini sejak 2016, ternyata berjaya membuahkan hasil memberangsangkan, yang mana hasil padi turut meningkat daripada enam metrik tan sehektar kepada lapan metrik tan sehektar,” katanya.
Katanya, teknologi sama ada dikembangkan ke semua estet padi di bawah Mada, di seluruh negara, malah petani lain turut digalakkan untuk merebut peluang ini, dengan melaksanakannya secara berkelompok.
“Pertanian tepat merangkumi sistem perataan tanah, penaburan benih secara kadar boleh ubah, sistem aplikasi baja secara kadar boleh ubah, sistem amaran awal perosak dan penyakit, serta sistem pemantauan tanaman dan hasil, banyak manfaat kepada petani sebab itu mereka kena rebut peluang ini,” katanya.
— BERNAMA

No comments:

Post a Comment