Wednesday, July 19, 2017

PBS UPM Juarai 99-second Pitch Challenge Di Thailand



KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Sekolah Perniagaan Putra (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM) menjuarai acara 99-Second Pitch Challenge pada Cabaran Pemimpin Masa Depan Siam Commercial Bank PLC (SCB) 2017 di Thailand dengan mengalahkan 280 pasukan dari 33 negara.

Dalam kenyataannya, PBS berkata pasukan sekolah itu yang diberi nama 'The Challenger', merupakan satu-satunya pasukan Malaysia yang menyertai pertandingan itu dan dianggotai empat mahasiswa - Cheah Fu Yuan, Kogillavanan Munusamy, Loh Wai Mun dan Hoo Yien Ting.

Cheah, yang bertindak sebagai ketua pasukan, ketika memberi petua kepada pelajar Malaysia yang ingin menyertai pertandingan itu berkata: "Perbezaan antara biasa dan luar biasa hanyalah sedikit 'kelebihan' dan anda juga boleh merupakan sedikit kelebihan itu. Jangan bimbang tentang kegagalan, tetapi bimbanglah mengenai peluang yang akan terlepas jika anda tidak langsung mencuba".

Diadakan dari 20 hingga 24 Jun, Cabaran Kepimpinan Masa Depan SCB merupakan pertandingan antarabangsa mengenai pengurusan kes perniagaan untuk mahasiswa program sarjana. Pertandingan ini memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan dan mengamalkan kemahiran analitis dengan menyelesaikan kes perniagaan sebenar.

Menurut kenyataan itu, peserta juga akan mendapat maklum balas profesional daripada panel hakim serta peluang untuk memenangi Anugerah Diraja serta wang.

Pertandingan pada tahun ini disertai beberapa universiti Asia, termasuk Sasin Graduate Institute of Business Administration of Chulalongkorn University,Thailand; The Hong Kong University of Science and Technology, Singapore Management University, Globis University (Jepun) dan Universitas Gadjah Mada (Indonesia), kata kenyataan itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment