Friday, July 21, 2017

21 Universiti Tempatan Sertai Sukan Staf Ke-42 Di UPSI

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Sebanyak 21 universiti tempatan mengesahkan penyertaan pada Sukan Staf Universiti Malaysia Kali Ke-42 dari 29 Julai hingga 5 Ogos ini di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.

Universiti berkenaan antaranya ialah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran dalam satu kenyataan berkata sebanyak 1,442 pingat akan ditawarkan pada kejohanan berkenaan yang akan dirasmikan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir pada 31 Julai ini.

"Sebanyak 21 acara sukan dipertandingkan termasuk boling, petanque, catur, memanah, golf, dart berpasukan terbuka, sepak takraw, kayak, perahu panjang dan berbasikal melibatkan beberapa venue iaitu di UPSI Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Kampus Sultan Azlan Shah, Kelab Golf Lembah Beringin, Tasik Embayu Proton City dan Ampang Superbowl, Ipoh," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI Profesor Madya Dr. Md Amin Md Taff berkata universiti berkenaan akan menurunkan seramai 303 orang atlet.

"Jumlah atlet, jurulatih dan pengurus yang didaftarkan ialah sebanyak 305 orang dengan 206 daripadanya terdiri daripada kakitangan sokongan dan pelaksana, 30 orang lagi kumpulan pegawai, 58 orang dari kalangan kakitangan akademik/ pensyarah dan selebihnya adalah kalangan jurulatih," katanya.

Dr Mohd Amin berkata UPSI menyasarkan untuk memperbaiki kedudukan keempat pada kali ini setelah sekadar menamatkan saingan di tangga keenam tahun lepas.

No comments:

Post a Comment