Thursday, November 29, 2018

Syarikat Jepun bina kemudahan di Malaysia sokong permintaan logistik rantaian sejuk beku

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Daiwa House Industry Co., Ltd. akan memulakan kerja di kemudahan logistik pelbagai penyewa pertamanya di Malaysia, “D Project Malaysia I” di Shah Alam pada 7 Jan, 2019 bagi menyokong permintaan terhadap logistik rantaian sejuk beku yang meningkat di Malaysia beberapa tahun kebelakangan ini.
Pengurusan sewaan bagi projek itu akan dikendalikan Daiwa House Malaysia Logistic Sdn. Bhd, anak syarikatnya di Malaysia yang ditubuhkan pada Mei 2018, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Projek tersebut merupakan kemudahan logistik yang boleh menampung pelbagai penyewa untuk menyokong keperluan kemudahan kepelbagaian logistik di Malaysia, iaitu satu mekanisme pengedaran makanan mudah rosak dan makanan sejuk beku bagi memastikan ia berada pada suhu tetap dari tapak pengeluaran ke lokasi penggunaan.
Kemudahan baharu itu meliputi kawasan seluas 30,000 meter persegi, keluasan lantai kira-kira 18,000 meter persegi dan kawasan boleh disewakan seluas 16,500 meter persegi. 
Ia terletak di kawasan berdekatan dengan kilang dan kemudahan logistik di Shah Alam, kira-kira 27 kilometer barat daya dari Kuala Lumpur dan kira-kira 40 kilometer ke utara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. 
Syarikat itu telah memajukan bersama “Taman Perindustrian Long Duc” dengan Sojitz Corporation dan Kobelco Eco-Solutions Co., Ltd. di Vietnam pada 2011 dan juga sedang membangunkan beberapa kemudahan logistik di Vietnam, Thailand dan Indonesia.
-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment