Wednesday, November 14, 2018

Dua sekolah terima sumbangan daripada Wakaf Negeri Sembilan Muamalat

SEREMBAN, 13 Nov (Bernama) -- Wakaf Negeri Sembilan Muamalat hari ini memberi sumbangan 15 unit komputer berharga RM35,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Dusun Nyior di sini dan dua unit penghawa dingin berharga RM9,960 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Baru SiRusa, Port Dickson.

Majlis penyampaian sumbangan itu berlangsung di SK Taman Dusun Nyior di sini, hari ini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Negeri Sembilan Muamalat Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir kepada Guru Besar SK Taman Dusun Nyior Kamaruddin Abu Hassan dan Pengetua SMK Kampung Baru SiRusa Sahak Ahmadun.

Turut hadir ialah Pengurus Cawangan Seremban Bank Muamalat Malaysia Bhd Khairul Ikhwan Hassan Basri dan Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Taman Dusun Nyior Aslam Nawabdin.

Dr Abdul Aziz berkata sumbangan ini dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor seperti dapat membantu proses pembelajaran dan memberi keselesaan kepada murid yang menggunakannya.

Katanya setakat Oktober lepas, Wakaf Negeri Sembilan Muamalat telah menyumbang hampir RM100,000 dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

"Antaranya, termasuklah beberapa peralatan hospital, komputer dan mesin dialisis," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Wakaf Negeri Sembilan Muamalat adalah program kutipan dan agihan dana wakaf tunai yang telah dilancarkan pada 21 Jun 2017.

Katanya ia merupakan satu perkhidmatan yang ditubuhkan dari usahasama di antara Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan.

"Ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan dan orang awam untuk berwakaf. Sumbangan wakaf ini akan diagihkan kepada dua sektor iaitu pendidikan dan kesihatan. Selain itu, dana ini disalurkan juga ke sektor pelaburan bagi mengembangkan nilai dana wakaf.

"Bank Muamalat Malaysia Bhd melalui rangkaian cawangannya di Malaysia telah mengumpul dan menguruskan dana wakaf bersama-sama dengan Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment