Wednesday, November 7, 2018

BELANJAWAN 2019 CERMINKAN USAHA DALAM MEMODENKAN PKS - MPRC




KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) – Belanjawan 2019 mencerminkan usaha bersepadu kerajaan untuk memajukan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kata Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC). 
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MPRC Mohd Yazid Ja'afar dalam satu kenyataan berkata langkah untuk memodenkan PKS seperti penubuhan pasukan petugas khas bagi meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan negara dan meningkatkan daya saing global membuktikan Malaysia adalah terbuka untuk perniagaan. 
Pengumuman bajet bagi PKS juga adalah tepat pada masa ketika industri minyak dan gas antarabangsa sedang meningkatkan aktiviti-aktiviti pembangunan.
"Oleh itu, kami menggesa perkhidmatan dan peralatan minyak & gas (OGSE) PKS untuk memanfaatkan insentif-insentif ini bagi meneroka peningkatan aktiviti dalam minyak & gas termasuk merealisasikan matlamat pengantarabangsaan mereka," katanya. 
MPRC, yang ditubuhkan pada 2011 sebagai agensi pembangunan industri OGSE, berkata penekanan untuk membangunkan PKS dalam ekonomi digital termasuk menggalakkan penyelidikan antara industri-universiti dan memperkenalkan penggunaan teknologi adalah satu langkah bagi memperkukuhkan tulang belakang ekonomi Malaysia.
"Dalam menyampaikan mandat kami untuk menjadikan Malaysia sebagai hab OGSE terbaik di rantau Asia Pasifik, MPRC akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan serta pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan langkah-langkah tersebut," katanya.
Antara langkah-langkah yang mesra PKS dalam Belanjawan 2019 adalah peruntukan sebanyak RM2 bilion dalam Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan untuk membolehkan PKS melabur dalam automasi dan modenisasi serta peruntukan sebanyak RM210 juta bagi menggalakkan perpindahan kepada Industri 4.0 dari 2019 sehingga 2021. 
Kerajaan juga mengumumkan bahawa Perbadanan Produktiviti Malaysia akan melaksanakan program Penilaian Kesediaan untuk membantu 500 PKS beralih kepada teknologi Industri 4.0.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment