Thursday, September 13, 2018

Persidangan Esri ke-22 tonjol inovasi bandar raya pintar

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Persidangan Pengguna Esri Malaysia ke-22, yang akan dijadualkan pada 25 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, akan menonjolkan penerokaan kemajuan terkini dalam teknologi analitik berasaskan lokasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Esri Malaysia, CS Tan, berkata pakar-pakar teknologi serantau akan berkongsikan amalan terbaik bandar pintar global semasa persidangan.

"Persidangan akan turut memberikan gambaran tentang bagaimana organisasi Malaysia menggunakan teknologi analisis berasaskan lokasi canggih untuk menyelesaikan cabaran unik dalam organisasi awam dan komersial," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pemenang Anugerah GeoInnovation 2018 akan turut diumumkan semasa persidangan bagi mengiktiraf organisasi yang menggunakan kreativiti teknologi geospatial dalam menangani cabaran dunia nyata.

"Anugerah tersebut akan menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia semakin pantas menjadi kuasa global untuk inovasi teknikal," tambah Tan.

Platform teknologi geospatial Esri menawarkan ciri pengurusan, analisis, kolaborasi dan visualisasi tiga dimensi yang diiktiraf sebagai teknologi asas bagi bandar-bandar pintar di seluruh dunia, termasuk di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Iskandar (Johor Bahru ).

Untuk butiran acara penuh Persidangan Pengguna Esri Malaysia ke-22 dan mendaftar, sila lawati esrimalaysia.com.my/uc

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment