Friday, September 28, 2018

MFPC raih anugerah pengurusan kekayaan Islam di Sarajevo

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) memenangi Anugerah Pengurusan Kekayaan Islam Terbaik kategori kelayakan di Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) 2018, yang diadakan di Sarajevo, Bosnia baru-baru ini.

Majlis anugerah yang masuk tahun kelapan itu dirasmikan oleh Presiden Bosnia, Bakir Izetbegovic.

Presiden MFPC, Michael Kok Fook On berkata adalah satu penghormatan besar untuk menerima anugerah tersebut bagi pihak bagi para Perancang Kewangan Shariah Berdaftar.

"MFPC komited dalam memastikan kualiti terbaik program kami dikekalkan. Setakat ini, majlis itu telah bekerjasama dengan pelbagai organisasi antarabangsa yang bereputasi untuk menyediakan pendidikan perancangan kewangan terbaik, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), SDG Empat dan SDG 17. 

"Kami berharap anugerah ini dapat menggalakkan promosi konsep perancangan kewangan shariah kepada lebih ramai lagi rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

MFPC telah membangunkan konsep Perancang Kewangan Shariah Berdaftar sebagai program praktikal untuk pengamal industri melengkapkan diri dengan pengetahuan takaful dan perancangan kewangan Islam sejajar dengan agenda nasional untuk mempromosikan kemajuannya.

Ia juga seiring dengan sasaran menjadikan Malaysia pusat kewangan Islam bagi transaksi dan urus niaga patuh shariah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment