Tuesday, September 4, 2018

Grab terbit filem pendek rai Malaysia Baharu

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Grab Malaysia (Grab) menerbitkan sebuah filem pendek sebagai sebahagian daripada kempen 'Malaysia Baharu' nya sempena sambutan ulang tahun ke-55 Malaysia dan 61 tahun kemerdekaan.

Syarikat e-panggilan itu dalam satu kenyataannya hari ini berkata filem pendek tersebut membawa penonton melalui pandangan kaca mata pelbagai watak muda yang berbeza, dan memberi penghormatan kepada mereka yang telah dan masih memperjuangkan perubahan dalam negara.

"Kempen diharap dapat memperkasakan rakyat Malaysia menggunakan teknologi untuk menangani keperluan seharian dan meningkatkan pendapatan usahawan tempatan seiring dengan langkah negara bergerak maju ke dalam ekonomi digital," katanya.

Grab turut menjalin kerjasama dengan penulis lagu tempatan untuk menghasilkan lagu yang akan dilancarkan melalui pelbagai platform media sosial Grab sempena Hari Malaysia.

"Kami berharap dapat membantu menjadikan 'Malaysia Baharu' satu realiti menerusi akses pengangkutan yang lebih baik serta peluang pertumbuhan untuk usahawan mikro menerusi platform GrabFood dan GrabPay," kata Ketua Pemasaran Grab Malaysia, Iris Chang.

Sementara itu, Grab berkata ia akan menganjurkan minggu tanpa tunai 'Hari Malaysia RIUH x Grab' dengan mengguna pakai platform GrabPay sepenuhnya.

Lawati grb.to/MyNewMalaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment