Saturday, September 1, 2018

LEBIH 300 HADIR SEMINAR SST 2.0 ANJURAN ACCA



KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Menjelang pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 Sept, Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) mengadakan seminar khas STT 2.0 yang dihadiri lebih 300 orang di sini, hari ini.
Ketua ACCA Malaysia Edward Ling berkata sebagai badan global untuk akauntan profesional dengan 14,000 ahli di Malaysia, ACCA komited untuk menganjurkan acara, seminar dan latihan yang berkaitan serta memainkan peranan membentuk profesion perakaunan.
"Seminar SST ini adalah satu contoh yang baik tentang bagaimana ACCA memenuhi keperluan akauntan profesional untuk input yang relevan dan terkini mengenai topik yang penting kepada mereka disamping menyokong inisiatif kerajaan Malaysia," kata Ling dalam satu kenyataan.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy turut serta dalam menyampaikan penerangan  mengenai aspek teknikal serta pembaharuan dalam SST di seminar tersebut.
Subromaniam menyoroti perbezaan antara SST 1.0 dan SST 2.0, keperluan pematuhan, pengecualian, proses rayuan dan bayaran balik, serta menjawab banyak persoalan dari peserta dan profesional akauntan yang hadir.
Sementara itu, Thenesh Kanaa penasihat cukai dari TraTax berkata entiti perniagaan di Malaysia harus memahami bahawa SST 2.0 tidak sama dengan SST 1.0, dan wajar memastikan pematuhan penuh keperluan undang-undang SST dan Akta Pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).
"Selain itu, adalah penting bahawa semua industri, termasuk yang tidak berdaftar SST, mematuhi Peraturan Antipencatutan 2018 yang baru digubal," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment