Wednesday, November 30, 2016

UMW CATAT KERUGIAN SEBELUM CUKAI SUKU-3 RM121.62 JUTA

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- UMW Holdings Bhd mencatatkan kerugian
sebelum cukai sebanyak RM121.62 juta dalam suku ketiga yang berakhir 30 Sept,
2016, berbanding keuntungan sebelum cukai RM72.24 juta dalam suku yang sama
tahun lepas.
    Hasil turun kepada RM2.86 bilion daripada RM3.53 bilion sebelumnya, kata
syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, di sini, hari ini.
    "Hasil rendah itu adalah disebabkan oleh persekitaran ekonomi mencabar dalam
industri minyak dan gas ditambah dengan penurunan nilai ringgit yang memberi
kesan kepada keputusan kumpulan," kata syarikat itu. 
    Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya Badrul Feisel Abdul Rahim dalam satu
kenyataan berkata prestasi kumpulan terjejas disebabkan oleh kegawatan dalam
industri minyak dan gas ketika ini, penurunan permintaan tempatan terhadap
kenderaan motor dan kelemahan nilai ringgit. 
    Segmen minyak dan gas (tidak tersenarai) mencatatkan hasil rendah sebanyak
RM58.4 juta dalam suku semasa daripada RM70.0 juta dalam suku yang sama pada
2015 disebabkan kesan daripada harga minyak rendah yang berterusan, katanya. 
    Badrul berkata hasil segmen kenderaan motor merosot kepada RM2.26 bilion
daripada RM2.60 bilion disebabkan sentimen lemah pasaran dan persaingan sengit
daripada pengeluar kereta lain. 
    Segmen peralatan mencatatkan hasil rendah sebanyak RM342.8 juta berbanding 
RM474.8 juta sebelumnya disebabkan penurunan jualan peralatan akibat daripada
kelembapan dalam sektor perlombongan dan persaingan sengit dalam sektor pembinaan, katanya. 
    Beliau berkata prestasi jualan di Myanmar terjejas oleh sekatan berterusan
yang dikenakan ke atas import peralatan berat oleh negara itu.
    Segmen pembuatan dan kejuruteraan mencatatkan hasil rendah sebanyak 
RM144.6 juta dalam suku semasa berbanding RM183.8 juta dalam suku yang sama
tahun sebelumnya, katanya. 
    Badrul berkata cabaran dan keadaan tidak menentu dalam persekitaran
perniagaan sekarang menambahkan lagi tekanan kepada rugi terjejas aset dalam
suku akhir tahun ini, yang mungkin memberi kesan buruk kepada keputusan kumpulan.    
    "Bagaimanapun, pengurusan akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang
kos, meningkatkan kecekapan operasi dan terus menambah baik potensi perniagaan,"
katanya.

    -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment