Sunday, November 13, 2016

Syarikat Korporat Boleh Dapat Tolakan Cukai Korporat 2.5 Peratus Bayar Zakat - PPZ-MAIWP

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Syarikat korporat boleh mendapatkan tolakan cukai korporat sebanyak 2.5 peratus daripada pendapatan agregat mereka bagi pembayaran zakat perniagaan, kata Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Pengurus Besar Operasinya, Mohammed Hassan berkata pelepasan cukai korporat itu telah diperkenalkan sejak 2005 oleh kerajaan.

"Pelepasan cukai korporat ini tertakluk kepada mana-mana syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat," katanya kepada Bernama di Seminar Usahawan Super Muslim (SUPERB), di sini, hari ini.

Beliau berkata potongan cukai ke atas zakat perniagaan ini turut diberikan kepada koperasi dan badan amanah.

Mohammed berkata zakat perniagaan diwajibkan terhadap perniagaan orang Islam tidak kira besar ataupun kecil selagi ia memenuhi syarat-syarat seperti cukup nisab (paras minimum yang menentukan sama ada wajib atau tidak membayar zakat) dan cukup haul (setahun perniagaan).

Sementara itu, katanya, terdapat juga pengiraan zakat bagi perniagaan yang tiada akaun mahupun penyata kewangan, contohnya seperti peniaga pasar tani, pasar malam, gerai-gerai makanan dan minuman dan lain-lain perniagaan yang berkaitan.

Kaedah pengiraannya adalah dengan mengambil kira semua hasil jualan, perolehan ditolak segala kos serta perbelanjaan yang ditanggung, dan bakinya dikenakan zakat pada kadar 2.5 peratus (bersamaan paras nisab), katanya.

"Ini bermakna keuntungan bersih setelah ditolak segala kos atau perbelanjaan dan zakat perniagaan boleh dibayar secara sekali gus atau secara beransur-ansur mengikut kemampuan kewangan syarikat," kata Mohammed.

SUPERB, anjuran PPZ-MAIWP yang kali kedua diadakan itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran berzakat khususnya kepada golongan usahawan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mempromosikan peranan PPZ-MAIWP selaku institusi yang menguruskan kutipan zakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1301564


No comments:

Post a Comment