Wednesday, November 2, 2016

Technology Park Malaysia Bekerjasama Dengan SBA Korea Dalam Program Inkubasi

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) dengan kerjasama Agensi Perniagaan Seoul (SBA) akan membangunkan program inkubasi bersama bagi merangsang kelompok industri teknologi maklumat dan industri (ICT), bioteknologi dan sains hayat, kejuruteraan tinggi serta teknologi hijau.

Semalam TPM menandatangani memorandum persefahaman dengan SBA, yang menguruskan Bandaraya Media Digital Korea Selatan.

"Konsep inkubasi bersama itu menyediakan platform untuk pusat inkubator, taman teknologi atau universiti dalam atau luar negara berkongsi sumber dalam menyumbang ke arah pembangunan perniagaan baharu.

"Dengan menggunakan konsep tersebut, pusat inkubator dapat beroperasi dengan lebih cekap dan kos lebih rendah menggunakan sumber sedia ada," kata Pengerusi TPM, Datuk Ahmad Fauzi Zahari dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kerjasama TPM-SBA dijalin bagi mewujudkan perkongsian pintar antara usahawan dan perusahaan Korea Selatan dan Malaysia.

Aktiviti kerjasama itu termasuk membangunkan program inkubasi bersama untuk PKS; bimbingan akses kepada pasaran, pembiayaan, teknologi dan pakar; bantuan pengkhususan dan penggunaan bersama kemudahan secara pro bono dalam penerokaan perniagaan.

Selain itu, akses kepada perkongsian dan rangkaian serta nasihat perniagaan yang berkaitan keadaan perniagaan tempatan dan keperluan, katanya.

Setakat ini TPM telah mewujudkan program inkubasi bersama dengan Hong Kong, Indonesia, Singapura, Filipina, Thailand, Vietnam dan Korea Selatan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment