Monday, May 13, 2019

YAYASAN PETRONAS KONGSI KEGEMBIRAAN MUSIM PERAYAAN

Anjur pelbagai aktiviti bersama-sama komuniti bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Kaamatan dan Gawai



KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Program Sentuhan Kasih Yayasan PETRONAS kembali berkongsi kegembiraan bagi kira-kira 2,800 buah keluarga dan golongan kurang bernasib baik untuk sama-sama meraikan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri, Kaamatan dan Gawai di seluruh negara.
 
Bermula 8 Mei hingga 15 Jun 2019, Yayasan PETRONAS bersama-sama dengan beberapa agensi kerajaan, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan dari kumpulan syarikat PETRONAS bekerjasama menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian serta kelengkapan rumah, hamper dan duit raya.
 
Sumbangan berjumlah RM815,000 akan disampaikan dalam bentuk wang tunai dan barangan menerusi program Sentuhan Kasih Yayasan PETRONAS, yang bermula sepanjang bulan Ramadan, diikuti sambutan Kaamatan, Gawai dan juga Hari Raya Aidilfitri.
 
Di samping itu, sepanjang program ini, turut diadakan majlis berbuka puasa, aktiviti-aktiviti seperti gotong-royong dan latihan kemahiran bersama penghuni rumah-rumah kebajikan.
 
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Lita Osman berkata, “Kami berharap dapat terus menyemai nilai-nilai murni melalui amalan kebaikan. Kami juga amat berbesar hati  program Sentuhan Kasih Yayasan PETRONAS ini mampu diperluas ke lebih banyak negeri serta melibatkan lebih ramai komuniti dan keluarga.
 
“Bilangan sukarelawan PETRONAS juga meningkat pada tahun ini yang membolehkan kami menyumbang dan menghulurkan lebih banyak sumber tenaga untuk manfaat sejagat.”

Farhanuddin A Razak, seorang sukarelawan PETRONAS berkata, “Biar pun seringkali melibatkan diri , namun saya tetap bersemangat dan teruja untuk membantu mereka yang lebih memerlukan.
 
“Usaha secara sukarela ini sangat bermakna kerana saya dapat sama-sama berkongsi dan menambah kemeriahan sambutan bagi mereka yang mungkin hidup berseorangan tanpa ditemani keluarga mahu pun sahabat handai.” 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=12140

No comments:

Post a Comment