Thursday, May 2, 2019

Unit Censof selesaikan projek OBB dengan Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Unit Censof Holdings Bhd, Century Software (M) Sdn Bhd, menyelesaikan projek belanjawan berasaskan prestasi (OBB) dengan Kementerian Kewangan.

Bagi menyokong pelaksanaan OBB, Censof Holdings berkata Kementerian Kewangan telah memulakan pembangunan platform teknologi maklumat dalam talian bersepadu, MyResults, untuk merekodkan hala tuju program atau aktiviti, serta set rangka kerja prestasi yang lengkap.

“Aplikasi dalam talian ini bertujuan berperanan sebagai satu sistem maklumat pengurusan belanjawan dan prestasi yang lengkap serta bersepadu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Censof Holdings, Ameer Shaik Mydin berkata penekanan utama di bawah pendekatan OBB adalah keberkesanan dan kesan keseluruhan projek atau program berbanding perbelanjaan dan output.

“Tumpuan kepada hasil dan prestasi kini membawa kepada pengurusan sumber lebih baik, dan ini kemudiannya memberi lebih nilai bagi wang dari segi pelaburan awam dan mengurangkan perbelanjaan ad hoc,” katanya.

Menurut Censof Holdings, OBB bertujuan membantu Kementerian Kewangan mengurangkan pembaziran dan memastikan sumber negara dioptimumkan dan diperuntukkan mengikut keutamaan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment