Tuesday, May 7, 2019

BALINGAN PERTAMA UMPAN BAWA TUAH KEPADA PEMANDU LORI

KUALA SELANGOR, 28 April (Bernama) -- Cubaan balingan umpan yang pertama seorang pemandu lori membuahkan hasil apabila memenangi tempat pertama dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM70,000 pada Tourism Malaysia Surfcasting Tour A Journey To Visit Malaysia 2020, di Pantai Remis di sini hari ini.       

Mat Yasin Arbaaim, 44, yang pernah menyertai pertandingan memancing sebanyak empat kali sebelum ini berkata kemenangan itu merupakan sesuatu yang tidak disangka.

"Kalau nak ikutkan, ini kali pertama saya menang walaupun dah empat kali sertai pertandingan memancing ini.       

"Tadi masa balingan kalau nak diikutkan balingan pertama, tapi itulah dah namanya rezeki balingan pertama terus dapat ikan belukang lebih kurang sekilo lebih," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada pertandingan memancing Tourism Malaysia Surfcasting Tour A Journey To Visit Malaysia 2020, di Pantai Remis yang dirasmikan oleh  Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jeram, Mohd Shaid Rosli.     

Turut hadir dalam program ini adalah Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara, Tourism Malaysia,  Mohd Nasir Kushairi.           

Pertandingan anjuran bersama Tourism Malaysia dan Wakjali Event Management itu yang bertujuan mempromosikan lokasi pelancongan menarik seluruh negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, menawarkan hadiah wang tunai RM70,000 untuk juara, tempat kedua menerima RM12,000 dan ketiga RM5,000.       

Pemenang keempat membawa pulang RM1,000 kelima (RM700) keenam hingga ke-10 (RM450) manakala pemenang ke-11 hingga 100 pulang dengan RM300.

Turut ditawarkan, sebuah televisyen LED 60 inci dan enam TV LED 32 inci, 20 hamper dan 10 barangan Igloo sebagai hadiah cabutan bertuah serta 1,000 t-shirt untuk peserta yang mendaftar awal.

Pertandingan itu yang masuk siri ketiga selepas Melaka dan Kelantan, bermula 10.30 pagi hingga 2.30 petang dengan menerima penyertaan lebih daripada 1,600 peserta.       

Sementara itu, Mohd Nasir berkata Pantai Remis merupakan kawasan menarik dan berpotensi untuk menjadi sebuah lokasi berdaya tarikan bukan saja melibatkan pelancong tempatan malahan juga luar negara.

Beliau berkata Pantai Remis dari sudut infrastruktur mempunyai kawasan medan selera dan surau selain mempunyai kawasan yang luas dan selesa yang merupakan satu faktor penarik.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment