Thursday, May 2, 2019

LZS AGIH ZAKAT, BANTU PERSIAPAN AWAL KEDATANGAN RAMADAN

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan bantuan zakat berjumlah RM26,300,410 kepada 54,509 penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh Selangor bagi membantu persiapan awal menyambut Ramadan dan Hari Raya.

Menurut LZS dalam satu kenyataan, daripada jumlah itu sejumlah RM7,029,560 diagihkan kepada 14,714 orang dalam kalangan asnaf fakir, manakala RM17,737,360 diagihkan kepada 38,940 asnaf miskin dan RM1,533,490 diagihkan kepada 4,204 asnaf mualaf.

Setiap penerima mendapat bantuan zakat antara RM300 dan RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan dan diagihkan menerusi kredit ke akaun bank, kaedah V-Cash (Vaucher Tunai) atau serahan tunai pada program.

Penyerahan bantuan disempurnakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Dr. Daroyah Alwi bersempena Majlis Serahan Bantuan Ramadan dan Raya Lembaga Zakat Selangor 2019, baru-baru ini.

Daerah Klang mencatatkan jumlah penerima bantuan tertinggi iaitu 10,260 asnaf fakir, miskin dan mualaf melibatkan peruntukan agihan zakat RM4,797,550 dan diikuti Petaling dengan jumlah penerima 8,722 dengan jumlah RM3,939,770 dan daerah Hulu Langat seramai 8,419 orang dengan peruntukan RM3,885,090.

Pada majlis yang sama, syarikat Utas Maju Sdn Bhd menyerahkan zakat perniagaannya bagi tahun 2018 berjumlah RM148,002.51.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment