Saturday, May 4, 2019

LZS SASAR PENINGKATAN KUTIPAN ZAKAT DARIPADA WARGA PDRM TAHUN INI

SHAH ALAM, 2 Mei (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan peningkatan kutipan zakat pendapatan daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada RM131,000 sebulan dengan pertambahan pembayar zakat dalam kalangan kakitangan pasukan itu tahun ini.

Ketua Divisyen Kutipan LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata sehingga tahun taksiran terakhir yang dibuat pada 2016, seramai 12,841 warga PDRM Selangor dikenal pasti layak berzakat yang 3,134 orang daripadanya telah menyertai Skim Bayaran Zakat Melalui Potongan Gaji atau Skim Berkat.

“Daripada jumlah pembayar zakat pendapatan melalui Skim Berkat itu, LZS menerima bayaran zakat sebanyak RM114,464 sebulan dan mulai tahun ini, kami akan melaksanakan taksiran semula pembayar zakat pendapatan daripada warga PDRM.

“Menerusi taksiran semula itu, LZS menyasarkan pertambahan pembayar zakat pendapatan melalui Skim Berkat daripada golongan berkenaan sebanyak 5,000 orang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis perasmian Bengkel Pekeliling Taksiran Zakat PDRM 2019, di sini, hari ini.

Bengkel berkenaan dirasmikan oleh Anggota Jawatankuasa Operasi Kutipan LZS, Datuk Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa. Turut hadir adalah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat.

Dalam pada itu, Mohd Sabirin memberitahu pada tahun lepas, kutipan zakat pendapatan di negeri itu adalah berjumlah RM793.7 juta yang RM324.7 juta diperoleh melalui Skim Berkat melibatkan 188,167 pembayar zakat.

“Untuk rekod, Selangor mempunyai kira-kira 3.7 juta umat Islam namun buat masa ini hanya 180,000 warga kerja yang membuat potongan gaji,” katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment