Thursday, November 26, 2020

UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN (UMK) TERSENARAI SEBAGAI SALAH SATU UNIVERSITI TERBAIK QS WORLD UNIVERSITY RANKING ASIA 2021

 BACHOK, 26 Nov (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang merupakan salah satu universiti awam dalam Rangkaian Universiti Berfokus (MFUN) iaitu Universiti yang Berteraskan Keusahawanan mencatat sejarah apabila tersenarai antara universiti terbaik di Asia dalam QS World University Rankings: Asia 2021 yang diterbitkan oleh Quacquarelli Symonds (QS) hari ini.

 
Sebagai universiti yang menerajui bidang keusahawanan, UMK terus mencatat pencapaian terbaik sebagai universiti keusahawanan no. 1 di Malaysia apabila berada dalam kelompok 551-600 terbaik Asia. Ini merupakan pencapaian julung-julung kali UMK di dalam QS World University Rankings: Asia 2021.
 
Penilaian ini dibuat berdasarkan sebelas kriteria penilaian iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah pelajar kepada fakulti, staf dengan PhD, nisbah sitatsi kepada artikel, nisbah artikel kepada fakulti, jaringan penyelidikan antarabangsa, staf akademik antarabangsa, pelajar antarabangsa, dan pelajar pertukaran inbound serta outbound.  Merujuk kepada pencapaian dalam QS World University Rankings: Asia 2021, kriteria penilaian bagi staf akademik antarabangsa dilihat sebagai kekuatan utama UMK apabila berjaya menduduki tempat ke-224 manakala kriteria penilaian bagi staf dengan PhD pula berada pada kedudukan 279 di Asia.
 
Menurut Naib Canselor UMK, Profesor Dato’ Dr Noor Azizi Ismail, pencapaian ini membuktikan bahawa UMK mempunyai staf yang kompeten dalam pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan yang sentiasa memberi fokus kepada pelbagai aspek teknikal, teknologi dan keusahawanan.
 
“Pencapaian ini merupakan petunjuk yang baik dan meletakkan universiti di atas landasan yang tepat di dalam menyediakan sebuah universiti yang berkualiti, sejajar dengan perubahan di dalam pendidikan negara yang menuju ke arah revolusi industri 4.0 dan melahirkan graduan yang kompeten menepati kehendak industri serta mendapat pengiktirafan antarabangsa.  Ianya juga, secara tidak langsung menjadikan UMK sebagai sebuah institusi pilihan untuk melanjutkan pelajaran bagi pelajar antarabangsa.” Katanya.
 
Selain itu, instrumen penanda aras ini membolehkan UMK mengkaji dan memperbaiki pencapaian universiti dari pelbagai perspektif. UMK akan terus bergerak maju sebagai pemain global bagi mencapai misi dan visi yang telah ditetapkan serta berada pada landasan terbaik sebagai universiti berfokus dalam memperkasa bidang keusahawanan di negara ini.
 
UMK akan terus meningkatkan prestasi dan amalan terbaik bagi memperkasa bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan bertaraf dunia dalam ekosistem teknologi dan keusahawanan dengan lebih kreatif juga inovatif yang dapat memanfaatkan masyarakat di negara ini. Selain itu juga, sebagai institusi ilmu yang sentiasa mengutamakan kualiti dan kecemerlangan, UMK percaya banyak lagi ruang-ruang penambahbaikan boleh diwujudkan agar kecemerlangan dapat terus dipertingkatkan. UMK akan meneruskan pelbagai inisiatif dengan memberikan fokus utama kepada kualiti dan impak penyelidikan di dalam bidang tujahan utama melalui kolaborasi strategik bersama agensi kerajaan, industri dan rakan antarabangsa di samping inisiatif penjenamaan dan visibiliti universiti melalui pelbagai platform.
 
Sumber : Pusat Komunikasi Korporat, UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN (UMK) 

No comments:

Post a Comment