Wednesday, November 8, 2017

Suami Isteri, Adik-Beradik Antara Graduan Putra Business School

SERDANG, 8 Nov (Bernama) -- Menyambung pengajian ke peringkat sarjana menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat sepasang suami isteri dan adik-beradik apabila mereka dapat menimba ilmu dan menamatkan pengajian dalam tempoh yang sama.

Kho Zhen Jia dan isterinya Hor Sze Lim serta pasangan adik-beradik R. Sivaneswaran dan R. Sheela antara 214 graduan Putra Business School (PBS) iaitu Program Kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), pada tahun ini.

Bagi Kho dan Hor masing-masing berusia 34 tahun, mempunyai tiga orang anak kecil yang kini berumur satu hingga enam tahun, bukan penghalang untuk mereka bersama-sama melanjutkan pelajaran secara sambilan dalam Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan).

Kho yang merupakan pemilik sebuah syarikat berkaitan teknologi maklumat (IT) dan isterinya seorang eksekutif di sebuah syarikat multinasional membuat keputusan melanjutkan pelajaran supaya dapat menjadi contoh kepada anak-anak mereka.

"Kami mahu menunjukkan kepada anak-anak bahawa menuntut ilmu adalah penting walaupun telah berusia dan kami juga ingin menambah pengetahuan untuk memajukan diri," katanya kepada pemberita pada majis konvokesyen itu.

Hor pula berkata melanjutkan pelajaran bersama suaminya memudahkan beliau dalam mengulang kaji pelajaran sehingga mendapat keputusan cemerlang iaitu purata nilai gred keseluruhan (CGPA) 3.828, manakala suaminya mendapat CGPA 3.625.

"Kami mempunyai kerjaya masing-masing, jadi kami mahu menambah pengetahuan supaya kami menjadi lebih kompetitif dan mempunyai peluang lebih baik dalam kemajuan kerjaya kami," katanya.

Sementara itu, bagi Sheela, 31, beliau membuat keputusan menyambung pengajian dalam Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Sumber Manusia) bagi mengikut jejak langkah abangnya Sivaneswaran, 39, yang mengambil Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa).

Berbeza dengan abangnya yang belajar secara sepenuh masa, Sheela yang bertugas dengan sebuah bank tempatan, berkata cabarannya lebih besar memandangkan beliau belajar secara sambilan.

"Bagi saya susah sedikit sebab terpaksa bahagi masa dengan kerja, tetapi abang saya ada membantu, walaupun kami tidak sama kelas, tetapi untuk peperiksaam kami boleh belajar bersama-sama," katanya.

Sivaneswaran yang berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, walaupun mendapat cuti belajar, cabaran beliau pula berbeza apabila perlu membahagikan masa dengan keluarga.

"Saya mempunyai tiga orang anak berumur antara empat dan lapan tahun. Jadi ketika di dalam kelas saya memberi sepenuh perhatian dan ada kalanya berjaga malam untuk menyiapkan tugasan, jadi apabila ada masa lapang beri perhatian kepada keluarga," katanya.

Dalam pada itu, tiga pegawai kerajaan Muhamad Salim Mohd Ali, Mafidah Mansor dan Nor Azahar Manap pula dinobatkan sebagai antara penerima anugerah kerana kecemerlangan mereka pada majlis konvokesyen tersebut.

Muhamad Salim, PTD di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang mengambil Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa), menerima Anugerah Presiden.

Mafidah (eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri) graduan Sarjana Pengurusan (Teknologi Maklumat) dan Nor Azahar (PTD di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) yang merupakan graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa) adalah dua penerima Anugerah Tadbir Urus Insan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment