Saturday, November 18, 2017

MYCC ALU-ALUKAN MAKLUM BALAS AWAM BAGI DUA KAJIAN PASARAN

KUALA LUMPUR, 17 Nov  (Bernama) -- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang memuktamadkan dua kajian pasaran iaitu farmaseutikal dan bahan binaan dalam industri pembinaan di bawah Akta Persaingan 2010 (AP 2010).

MyCC dalam satu kenyataan hari ini berkata objektif kajian pasaran itu adalah untuk mengenal pasti struktur pasaran, rantaian bekalan dan tahap persaingan dalam sektor masing-masing.

Suruhanjaya itu berkata salinan digital kajian pasaran itu boleh didapatkan di laman web MyCC di  www.mycc.gov.my bermula 17 Nov-7 Dis, 2017, dan orang ramai boleh mengemukakan komen mereka secara terus di laman web tersebut. 

MyCC akan memberi pertimbangan sewajarnya bagi apa-apa penyerahan bertulis daripada pihak berkepentingan dan orang ramai.

MyCC, dalam menjalankan kuasa yang diberikan oleh Seksyen 11(1) AP 2010, boleh atas inisiatifnya sendiri atau atas permintaan menteri, menjalankan kajian ke atas mana-mana pasaran bagi menentukan sama ada sebarang ciri atau gabungan ciri-ciri pasaran menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan dalam pasaran bagi mengenal pasti struktur pasaran, rantaian bekalan dan tahap persaingan dalam sektor tersebut.

Menurut seksyen 12 daripada AP 2010, MyCC akan menyiarkan laporan dapatannya dan cadangan-cadangan di laman webnya di www.mycc.gov.my selepas selesainya kajian pasaran itu, kata suruhanjaya tersebut.

 

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment