Sunday, November 12, 2017

Halal Walk About, Tresure Hunt dedah isu halal – Jakim

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) dan Kementerian Pelajaran menganjurkan Halal Walkabout & Treasure Hunt di pasaraya Tesco Jelutong, Pulau Pinang hari ini.
Program itu turut mendapat sokongan penuh syarikat Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd dengan Jakim dan JAIPP sebagai organisasi bertanggungjawab dalam mengesahkan status halal kepada produk makanan serta barangan yang menepati kehendak syarak.
Menurut Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha, program itu adalah usaha berterusan Jakim dalam menyampaikan maklumat tepat dan memberi pendedahan mengenai isu halal terkini kepada masyarakat.
Kata beliau, program kali ini turut dijayakankan kira-kira 150 peserta yang dipilih dalam kalangan warga pendidik Pulau Pinang.
“Mereka  adalah individu yang paling hampir dengan masyarakat khususnya anak-anak kecil dan remaja.
“Guru memainkan peranan penting dalam menyampaikan ilmu mendidik generasi masa hadapan, malah peranan inilah yang menjadikan mereka antara faktor penting sebagai agen penyebaran maklumat tepat berkaitan halal kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurut Othman, Jakim mengalu-alukan penglibatan pihak industri dalam menjayakan program itu yang dilihat sebagai tunjang memperkukuhkan perkembangan industri halal serta memacu Malaysia ke arah negara maju selaras Transformasi Negara 2050 (TN50) .
“Menerusi program kerjasama yang dijalinkan ini, pihak industri berpotensi untuk mengeratkan hubungan dengan pihak berwibawa dan masyarakat.
“Kita amat berharap pihak media dapat membuat liputan sepanjang program berkenaan berlangsung kerana masyarakat perlu maklum akan aktiviti dan kempen kesedaran yang dijalankan dalam memastikan informasi terkini dapat disampaikan kepada umum dan bagi mengelakkan kekeliruan kepada masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment