Wednesday, November 15, 2017

CFM Anjur Sesi Perkongsian Maklumat Industri Di Perlis

KANGAR, 15 Nov (Bernama) -- Perkembangan industri komunikasi dan multimedia menjadi fokus utama pada Sesi Perkongsian Maklumat Industri (KSS) anjuran Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) edisi Perlis, dekat sini hari ini.

Pengerusi CFM Mohamad Yusrizal Datuk Yusoff berkata KSS merupakan platform untuk berkongsi maklumat isu kepenggunaan yang berkaitan dengan perkhidmatan komunikasi dan multimedia, agar pengguna mendapat maklumat yang tepat.

"Sebelum ini CFM juga pernah menganjurkan KSS di Selangor, Perak, Johor, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Pahang sebagai cara untuk mendekatkan diri dengan pengguna perkhidmatan komunikasi dan multimedia di negara ini," katanya kepada pemberita pada majlis penutup program itu di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah CFM Ahmad Izham Khairuddin serta Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis Khairul Amin Talib.

Beliau berkata menerusi program itu juga, ia mendedahkan mengenai bagaimana CFM dapat membantu pengguna sekiranya mereka berhadapan sebarang masalah berkaitan komunikasi dan multimedia.

Antara topik yang dibincangkan pada program itu ialah jual beli dalam talian, Analog Tamat vs Digital Mula serta panduan penjimatan menggunakan perkhidmatan telefon mudah alih.

Mohamad Yusrizal berkata pada sesi KSS itu, pihaknya menjemput penceramah berpengalaman daripada KPDNKK, MYTV Broadcasting dan CFM sendiri.

CFM merupakan sebuah forum industri yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak Februari 2001.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan pengguna untuk membuat aduan secara rasmi jika mempunyai masalah dengan penyedia perkhidmatan komunikasi dan multimedia kerana ia dapat memberi impak kepada perubahan perkhidmatan dan industri, berbanding sekadar membuat rungutan dalam media sosial.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment