Sunday, November 12, 2017

Agrobank Dan Mada Wujudkan Program Khas Bantu Pesawah

ALOR SETAR, 12 Nov (Bernama) -- Kerjasama strategik antara Agrobank dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dapat membantu golongan pesawah di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seliaan lembaga itu mendapatkan modal pusingan menerusi Program Mada Paddy-i.

Pengerusi Mada Datuk Othman Aziz berkata menerusi program itu Agrobank menawarkan pembiayaan kepada pesawah daripada RM1,000 hingga RM50,000 mengikut keluasan sawah padi mereka untuk tempoh lima tahun dengan kadar keuntungan 2.75 peratus dan tanpa cagaran.

"Saya berharap kerjasama strategik ini dapat membantu para petani untuk memberi tumpuan kepada hasil pertanian mereka tanpa perlu risau dengan masalah untuk mendapatkan modal lagi," katanya kepada pemberita selepas menandatangani kerjasama strategik itu bagi pihak Mada di sini hari ini.

Agrobank pula diwakili Pengerusinya Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Othman yang juga Timbalan Menteri Kewangan 1 berkata kerjasama strategik dengan pembiayaan menggunakan konsep Islamik (tawarruq) itu juga merupakan antara usaha untuk memperkasakan industri padi di negara ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Masaat Awadz berkata kerjasama strategik itu dapat memberikan solusi pembiayaan kepada pesawah melalui pengurusan modal yang lebih efisien dan berpatutan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment