Monday, August 12, 2019

PELUANG KERJAYA KEPADA PELAJAR TAHUN AKHIR INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI DALAM SYARIKAT BERTEKNOLOGI DI PROGRAM KERJASAMA KPM-MTDC: GRADUATE EMPLOYABILITY INDUSTRY 4.0 (GE I4.0)


BANGI, 8 Ogos (Bernama) -- Bagi menyedia dan membangunkan penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menghadapi cabaran perubahan ekosistem pekerjaan, perkembangan pesat teknologi dan revolusi industri 4.0 untuk berdaya saing di peringkat nasional dan global, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) telah meneruskan Program KPM (Kementerian Pendidikan Tinggi) - MTDC Graduate Employability I4.0 (GE I.40) Kohort Kedua untuk pelajar tahun akhir daripada Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara.

Program yang memasuki tahun kedua ini telah disertai oleh 157 graduan yang terpilih daripada 1,200 permohonan yang diterima. Program enam hari yang bermula 3 Ogos itu ditutup oleh Cik Normah Binti Osman, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan dan Penyelarasan Dasar, Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada tahun pertama GE I4.0, 80% graduan dari program ini telah berjaya diserap terus secara tetap ke dalam syarikat. 

Ketua Eksekutif MTDC Dato’ Norhalim Yunus berkata sebagai peneraju utama dalam Industri 4.0, program ini memberikan tumpuan kepada pembangunan graduan bagi memenuhi sektor pekerjaan di syarikat berteknologi di dalam ekosistemnya.

"Peranan utama MTDC adalah untuk mengenal pasti dan menyediakan platform bagi usahawan peniaga kecil dan sederhana untuk berkecimpung dalam Industri 4.0. Manakala IPT pula perlu melahirkan graduan yang bersedia untuk Industri 4.0 agar mampu memenuhi keperluan industri”.

"Bagi memastikannya, graduan hari ini tidak perlu terlalu terikat dengan bidang yang mereka pelajari di universiti sebaliknya perlu memiliki fleksibiliti dan kepakaran dalam pelbagai bidang untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka," kata Norhalim dalam majlis penutup Program GE I4.0 itu di sini.

Norhalim berkata sebanyak 150 pekerjaan disediakan daripada 34 syarikat berteknologi di bawah ekosistem MTDC, syarikat dalam komuniti industri 4.0 MTDC dan syarikat multi nasional secara latihan pekerjaan selama tiga bulan. Peserta yang berjaya berpeluang diserap terus ke syarikat terlibat selepas menjalani latihan tersebut.

Bagi pihak usahawan MTDC pula, beliau berkata mereka dapat memilih bakal pekerja menerusi program temuduga terbuka yang memberi peluang kepada 100 peserta yang merupakan penuntut tahun akhir IPTA seluruh Malaysia berinteraksi dengan industri bagi mendapat tempat sebaik program GE I4.0 tamat. Bagi IPTA pula, ia dapat membangunkan program yang boleh memenuhi keperluan industri menerusi input dan data yang diberi industri.

Cik Normah dalam ucapannya berkata GE I4.0 merupakan program kebolehpasaran graduan berimpak tinggi yang dilaksanakan di peringkat nasional yang turut memberi nilai tambah kepada peserta melalui bengkel peningkatan dan penerapan aspek kemahiran yang diperlukan industri.

“Institusi pengajian tinggi memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan graduan yang mampu memenuhi keperluan pekerjaan terutama sekali dalam era Industri 4.0. Oleh yang demikian, Kementerian harus bekerjasama dengan pihak industri untuk memastikan graduan-graduan ini bersiap sedia untuk menceburkan diri mereka dalam syarikat-syarikat yang berteraskan Industri 4.0”, tambah beliau.

MTDC ditubuhkan sebagai agen pemacu pembangunan syarikat berasaskan teknologi, menggalakkan pemindahan hasil penyelidikan dan pembangunan (P&P) tempatan dan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan industri modal teroka di Malaysia.

MTDC turut menyediakan perkhidmatan sokongan bersepadu untuk usahawan teknologi yang termasuk khidmat nasihat seperti mentor, pinjaman mudah, penjenamaan, pengumpulan dana, kerjasama antarabangsa dan rangkaian.
 


MTDC

Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) telah ditubuhkan pada tahun 1992 dengan objektif berikut - sebagai agen pemacu pembangunan syarikat berasaskan teknologi, menggalakkan pemindahan hasil penyelidikan dan pembangunan (P&P) tempatan dan sebagai pemangkin kepada  pertumbuhan industri modal teroka di Malaysia.

Semenjak Rancangan Malaysia ke-7 (RMK-7), MTDC telah diamanahkan oleh Kerajaan untuk menguruskan dana khas kepada syarikat-syarikat Malaysia untuk meningkatkan kandungan teknologi mereka melalui pengkomersilan penyelidikan dan pembangunan (P&P) dan / atau pengambilalihan teknologi asing. Tidak hanya terhad kepada pengurusan dana, MTDC turut membangunkan pusat teknologi inkubator yang ditempatkan dibeberapa universiti dan institut penyelidikan tempatan (IPT) bagi memberi fokus kepada pelbagai kluster industri.

Dengan gabungan dedikasi, ilmu, teknologi, inovasi, kredibiliti, sokongan dan perkhidmatan penjagaan yang diberikan kepada semua syarikat dalam ekosistemnya, menjadikan MTDC sebuah syarikat yang mempunyai gandingan lengkap, menghasilkan nilai dan membantu memperkembangkan ekonomi Negara.

Sumber: Malaysian Technology Development Corporation (MTDC)

No comments:

Post a Comment