Saturday, August 10, 2019

MAJLIS PERUBATAN MALAYSIA TIDAK BERKOMPROMI DALAM KENDALI SIASATAN TATA ETIKA DAN PROFESSIONALISMA PEGAWAI PERUBATAN BERDAFTAR

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Majlis Perubatan Malaysia ingin merujuk kepada laporan beberapa media masa dan media atas talian pada 5 Ogos 2019, di mana Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dilaporkan telah mengesan kegiatan rangkaian sindiket membabitkan doktor perubatan yang menjual laporan perubatan untuk memastikan tuntutan pampasan difailkan pencarum mendapat kelulusan mudah. Laporan-laporan media tersebut juga melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO menyatakan bahawa tiada tindakan lanjut yang dibuat oleh Majlis Perubatan Malaysia (MPM) bagi mengatasi masalah ini. 

Adalah dimaklumkan bahawa mana-mana kegiatan jenayah dan sindiket berkaitan salah laku jenayah penipuan dan pemalsuan perlulah dilaporkan bagi disiasat pihak berwajib misalnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Aduan juga boleh dikemukakan kepada pihak MPM bagi menyiasat salah laku Pegawai Perubatan Berdaftar dari aspek tata etika dan professionalisma seorang doktor perubatan. 

Apabila MPM menerima sebarang aduan daripada pengadu bernama mengenai salah laku tata etika dan professionalisma mana-mana Pegawai Perubatan Berdaftar, aduan ini akan disiasat mengikut Akta Perubatan 1971 dan Peraturan-peraturannya, serta akan melalui suatu proses inkuiri yang telah ditetapkan oleh Peraturan Perubatan 1974 dan Pindaan 2017. Antara tatacara yang sangat penting dalam proses inkuiri ini adalah pembuktian mana-mana dakwaan yang dibuat oleh pengadu/pelapor bernama tersebut. Ini kerana setiap pengadilan adalah berlandaskan pembuktian kepada salah laku yang dilaporkan. Pihak yang mempunyai bukti adalah dipohon mengemukakannya kepada pihak MPM kerana ini akan membantu MPM untuk menyiasat secara lebih menyeluruh dan terperinci aduan yang dikemukakan. 

Selaras dengan fungsi MPM iaitu untuk membimbing doktor-doktor dan menjaga keselamatan serta kesejahteraan pesakit, pihak MPM ingin memberi jaminan bahawa ia tidak akan berkompromi dalam menyiasat aduan, tidak kiralah aduan berkaitan doktor perubatan di sektor awam, universiti, swasta mahupun di Badan Bukan Kerajaan. Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang isu mengenai Pegawai Perubatan Berdaftar yang tidak beretika bolehlah menyalurkan aduan mereka kepada pihak Sekretariat MPM. Untuk maklumat lanjut, layari http://mmc.moh.gov.my/index.php/information/ethics-complaintethical .    

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
PRESIDEN MAJLIS PERUBATAN MALAYSIA

7 Ogos 2019

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

No comments:

Post a Comment