Monday, October 21, 2019

Pencalonan dibuka untuk Anugerah Europa Bagi Kemampanan 2019

KUALA LUMPUR, 21 Okt -- Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kesatuan Eropah (EU) - Malaysia (EUMCCI) memberi pengiktirafan kepada organisasi dan individu yang cemerlang dalam amalan kemampanan bagi Anugerah Tahunan Europa Bagi Kemampanan 2019 pada 28 Nov ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Roberto Benetello berkata anugerah kali ketiga itu mengiktiraf kecemerlangan dalam kemampanan termasuk kategori Laporan Kemampanan Terbaik, Inovasi Terbaik Kemampanan, Impak Sosial Terbaik, Impak Persekitaran Terbaik dan Pemimpin Kemampanan Terbaik (dianugerahkan kepada individu).

Beliau berkata anugerah itu menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan melebihi 1,400 pencalonan setakat ini berbanding 95 syarikat tempatan dan antarabangsa pada tahun lepas.

“Para pelabur juga semakin menggalakkan syarikat untuk menyepadukan kemampanan dalam strategi perniagaan teras mereka dan adalah penting untuk syarikat berdiri setanding dengan sektor yang sama bagi ekonomi lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Duta dan Ketua Delegasi EU ke Malaysia Maria Castillo Fernandez berkata usaha EUMCCI dalam menangani isu kemampanan utama memainkan peranan penting untuk mendorong lebih banyak tanggung jawab korporat dalam pelbagai sektor.

“Sesuatu yang menggembirakan apabila melihat lebih banyak organisasi di Malaysia termasuk syarikat kecil dan sederhana berkongsi matlamat yang sama dalam menguruskan kemampanan dan bekerjasama ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,” katanya.

Tarikh akhir untuk menyertai anugerah tersebut adalah pada 13 Nov dan setiap syarikat boleh menghantar maksimum dua kategori anugerah.

Sesiapa yang berminat boleh melayari maklumat di www.europawardsmalaysia.eu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment