Thursday, February 28, 2019

PruBSN Microtakaful Jariyah bantu 12,500 keluarga miskin

BACHOK, 28 Feb (Bernama) -- Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) telah menyerahkan bantuan takaful berjumlah RM160,000 kepada 16 penerima skim itu sejak diperkenalkan Mac tahun lepas termasuk tiga penerima dari Kelantan yang menerima bantuan itu hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Nor Azman Zainal berkata penerima tersebut adalah sebahagian daripada 12,500 ketua isi rumah yang telah dikenal pasti layak dan terpilih menerima bantuan perlindungan asas takaful itu di seluruh negara.

"Hari ini kita serahkan bantuan kepada tiga lagi penerima membabitkan tiga ibu tunggal dari jajahan Bachok yang kehilangan suami beberapa bulan lepas. Sumbangan ini diharap akan membantu meringankan beban mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas kehilangan tempat bergantung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Agihan dan Penyerahan Manfaat PruBSN Microtakaful Jariyah yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan Amir Zakri.

Katanya seramai 8,600 penerima dari negeri ini telah dipilih menerima manfaat perlindungan takaful itu sekali gus meletakkan Kelantan sebagai penerima terbesar skim tersebut dan 748 penerima adalah dari jajahan Bachok. 

Skim PruBSN itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, adalah program pertama seumpamanya di negara ini yang menyediakan perlindungan asas takaful keluarga bagi tempoh 12 bulan untuk golongan berpendapatan rendah yang terpilih dan layak, secara percuma.

Melalui program itu, penama akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM10,000 sekiranya berlaku kematian ketua keluarga yang disalurkan terus ke akaun penerima dalam tempoh seminggu.

Sementara itu, Amir berkata seramai 8,294 miskin tegar direkodkan sehingga 24 Feb lepas dengan jumlah paling ramai di jajahan Kota Bharu iaitu 1,573 orang diikuti Pasir Mas (1,117 orang) dan 1,005 orang bagi Tanah Merah.

Katanya antara faktor yang dikenal pasti mempengaruhi kadar kemiskinan di negeri ini ialah kekurangan peluang pekerjaan dan sikap penduduk yang lebih cenderung menunggu pekerjaan.

Seorang penerima, Noryati Mohd, 43 berkata dia tidak menyangka akan terpilih menerima bantuan tersebut selepas kematian suami pada November lepas.

Katanya sumbangan berjumlah RM10,000 itu akan digunakan sebagai modal tambahan untuk projek tanaman sayuran yang diusahakannya selain menampung perbelanjaan persekolahan empat anak.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment