Wednesday, February 27, 2019

MyCreative Ventures cari masakan BBQ terbaik untuk dipertanding

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Syarikat pelaburan kerajaan, MyCreative Ventures, sedang mencari masakan BBQ terbaik untuk bertanding dalam “Cookout”, pertandingan seni kulinari yang akan berlangsung pada bulan Mac ini.

Cookout merupakan inisiatif pertama MyCreative Ventures, yang disasar untuk meraikan peminat hidangan BBQ, dan terbuka kepada rakyat Malaysia yang menggemarinya.

“Mereka yang berminat menyertai pertandingan perlu menghantar permohonan sebelum 10 Mac, dan pertandingan akhir serta penghakiman dijadualkan berlangsung di pentas RIUH edisi Mac 2019, pada 30 dan 31 Mac.

“Para peserta bebas untuk menampilkan pelbagai gaya dan masakan, yang perlu disediakan dengan cara dibakar di tempat terbuka, yakni cara penyediaan BBQ sebenar. Cookout terbuka kepada idea-idea baru, tidak terhad hanya kepada stik, tulang rusuk atau brisket,” kata MyCreative Ventures dalam satu kenyataan di sini hari ini.

RIUH adalah platform kreatif yang menampilkan kepelbagaian dalam bidang-bidang seperti makanan, bengkel kreatif, dan persembahan secara langsung.

Menurutnya para peserta perlu menghantar konsep masakan mereka secara umum dan ringkas, di samping memperincikan keunikan, kelebihan, serta harga dan juga kisah di sebalik penyediaan makanan itu, dengan dilampirkan bersama gambar-gambar dalam format PowerPoint, video atau format “Word”.

Senarai pendek peserta akan dimaklumkan dan diumum pada 14 Mac.

“Tiga pemenang teratas dalam pertandingan ini akan memenangi masing-masing RM5,000, RM3,000 dan RM2,000. Tarikh akhir penghantaran untuk Cookout ialah pada 10 Mac, jadi pastikan anda menghantar permohonan penyertaan anda ke cookout@mycreative.com.my dengan perkataan ‘Cookout’ tertera sebagai tajuknya,” menurutnya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment