Friday, February 8, 2019

MASKARGO PERLUAS PERKHIDMATAN MENGGUNAKAN PENYELESAIAN UNISYS DIGISTICS

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) –  Bahagian kargo Malaysia Airlines Bhd, MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo), akan menggunakan dua penyelesaian logistik digital berasaskan awan Unisys Digistics untuk menawarkan perkhidmatan kargo syarikat penerbangan itu ke pasaran lebih luas dan menyediakan pelanggan dengan pengupayaan kitaran hayat penghantaran di semua peringkat.

Mengikut perjanjian selama lima tahun yang ditandatangani pada November 2018, MASkargo akan menyertai platform e-perdagangan Unisys Digi-Portal untuk mempromosikan  inventorinya kepada lebih 25,000 pembeli dalam kalangan syarikat penghantaran, syarikat penerbangan, ejen jualan am dan pengendali di lebih 140 negara.

Ia juga akan menggunakan Unisys Digi-IQ untuk menjejaki, melapor dan mengukur  kadar penghantaran – memenuhi dan mengatasi standard industri kargo seluruh dunia yang ditetapkan IATA Cargo iQ.

“Kuala Lumpur ialah hab transit kargo yang penting dan semakin berkembang bagi Asia. Ini akan membantu kami menyediakan perkhidmatan lebih baik dan kebolehpercayaan kepada pelanggan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MASkargo Ibrahim Mohamed Salleh, dalam kenyataan hari ini.

"Dua perisian penyelesaian perkhidmatan Digistics ini akan menyediakan ketangkasan dan keupayaan tambahan kepada MASkargo untuk menjana hasil baharu dan pengupayaan untuk segera memanfaatkan peluang pasaran,” kata Naib Presiden sektor komersial Unisys Asia Pasifik Andrew Whelan.

MASkargo ialah ejen pengendali kargo udara terbesar di Malaysia dan mengendalikan lebih 30 pelanggan syarikat penerbangan di Advanced Cargo Centre miliknya, memproses lebih 800,000 bil udara setiap tahun.

Unisys, sementara itu, mempunyai lebih 55 tahun pengalaman dalam menyediakan penyelesaian IT inovatif kepada industri penerbangan dan pengangkutan udara. Sembilan daripada 10 syarikat penerbangan terkemuka bergantung pada penyelesaian Unisys.

Untuk butiran lanjut, layari http://www.unisys.com

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment