Wednesday, May 17, 2017

Warga Pendidik Perlu Kuasai Ilmu Berkaitan Zakat - PPZ-MAIWP

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Warga pendidik boleh memainkan peranan utama bagi menyedarkan masyarakat dan pelajar mereka mengenai kepentingan dan kelebihan menunaikan zakat, kata Pengurus Besar Kewangan Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Azhan Ismail.

Katanya golongan guru bukan sahaja berperanan sebagai seorang pendidik tetapi dalam menjayakan matlamat ini, mereka juga boleh bertindak sebagai 'buku rujukan' kepada anak didik dan masyarakat .

"Guru adalah golongan yang harus dimuliakan kerana mereka adalah penyebab utama kelahiran pemimpin berteraskan Islam pada masa akan datang," katanya ketika merasmikan penutupan Pertandingan Global Zakat Game (GZG) Sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2017 di sini hari ini.

Menyentuh mengenai pertandingan itu, Azhan berkata pertandingan itu juga adalah antara aktiviti untuk merapatkan hubungan antara warga pendidik dan warga PPZ-MAIWP.

"Objektif utama pertandingan ini yang menggunakan konsep permainan Saidina adalah untuk berkongsi ilmu zakat kepada golongan pendidik dalam suasana santai selain dapat merangsang minat dan minda para pelajar," katanya.

Pertandingan Global Zakat Game (GZG) yang julung kali diadakan itu menggunakan idea Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Azman Ab Rahman yang mampu memberikan pemahaman yang mendalam berkaitan cara pengiraan zakat dan jenis-jenis zakat yang boleh ditunaikan.

Permainan itu pernah merangkul beberapa anugerah reka cipta produk termasuk Anugerah Emas pada Ekspo Inovasi Islam 2016 (I-inova) dan Anugerah Umar Al-Khattab (Produk Terbaik) serta Anugerah Abu Bakar (Produk Terbaik Keseluruhan) pada Ekspo Antarabangsa mengenai Idea, Ciptaan, Inovasi dan Reka Bentuk Patuh Syariah (ISCIIID) 2016.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Foziah Buang berkata penggunaan permainan GZG dalam sukatan pelajaran Pendidikan Islam di peringkat sekolah menengah adalah baik dan selari dengan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

"Kita menggalakkan sekolah-sekolah menengah di sekitar Kuala Lumpur untuk membeli permainan GZG untuk dijadikan sebagai satu daripada alat bantu mengajar selain meningkatkan pemahaman para guru dalam topik zakat," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment