Friday, May 12, 2017

KAYM LAHIRKAN PRAMUGARA, PRAMUGARI TERLATIH

MELAKA, 12 Mei (Bernama) -- Karier sebagai seorang anak kapal atau pramugara dan pramugari serta ejen perkhidmatan pelanggan untuk syarikat penerbangan adalah salah satu kerjaya yang amat diminati.

Menyedari peluang kerjaya itu, KAYM melalui anak syarikatnya KYM Stes menawarkan kursus Kru Kabin untuk memberi lebih pengetahuan kepada mereka yang meminati kerjaya ini.

Ketua Eksekutif Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM), Datuk Saroni Judi, berkata prospek kerjaya sebagai kru kabin dilihat berpotensi tinggi walaupun krisis ekonomi dunia menjejaskan industri penerbangan dunia.

Pertambahan laluan baharu dan peningkatan jumlah penumpang yang dialami syarikat penerbangan besar, terutama syarikat penerbangan tambang murah mengukuhkan lagi masa hadapan kerjaya berkenaan.

Beliau berkata, perkhidmatan syarikat penerbangan tambang murah yang semakin mendapat tempat di hati pengguna melonjakkan lagi permintaan terhadap kerjaya itu.

Bukan sahaja mereka mempunyai imej glamor, mereka juga adalah penjenamaan untuk syarikat mereka. Mereka adalah golongan profesional di dalam bidang perkhidmatan pelanggan industri pelancongan global, yang paling aktif di dunia.
 
Tenaga pengajar mahir

"Program latihan yang kini disertai lebih 100 orang pelajar itu memberi peluang kepada mereka untuk mendalami kerjaya kru kabin selain mendedahkan mereka dalam industri perkhidmatan penerbangan.

"Dengan kepakaran tenaga pengajar yang ada, kami di KAYM yakin akan keberkesanan input yang diperoleh pelajar, seterusnya melahirkan kru kabin siap bersedia untuk berkhidmat," katanya.

Dengan tenaga pengajar berpengalaman, kepakaran mereka  digunakan untuk membangunkan program persediaan anak-anak kapal dan perkhidmatan pelanggan yang memberi pengetahuan kepada mereka yang berminat dalam kerjaya perkhidmatan pelanggan, pramugara pramugari di dalam industri penerbangan.

Peter Lam atau lebih dikenali sebagai Mr Peter mempunyai pengalaman lebih 30 tahun berkhidmat sebagai pramugara untuk syarikat penerbangan Malaysia.

Kepakaran sebagai ‘trainer/instructor cabin crew’ selama lebih 30 tahun, beliau telah melatih ramai bakal bakal pramugara pramugari serta ejen perkhidmatan pelanggan sehingga berjaya.

Bagi meningkatkan kemampuan pelajar, pelbagai program kerjasama dan lawatan turut diadakan termasuk berkunjung ke Malaysia Airlines Academy di Kelana Jaya, Selangor untuk membolehkan pelajar melihat sendiri latihan yang diadakan di akademi berkenaan.

Datuk Saroni berkata, pelajar akan menamatkan program latihan berkenaan setelah mengikuti kursus selama 117 jam iaitu selama tiga bulan.

Sumber : Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka

No comments:

Post a Comment