Tuesday, May 2, 2017

PERBADANAN KEMAJUAN KRAFTANGAN PERAK TINGKATKAN EKSPORT PRODUK KRAFTANGAN

 KUALA KANGSAR, 2 Mei (Bernama) - Perbadanan Kemajuan Kraftangan Perak akan 
memperhebatkan  usaha meningkatkan pasaran eksport produk kraftangan termasuk labu 
sayong di negeri ini ke peringkat antarabangsa.

Pengarahnya, Mohd Yusof Abd Rani berkata langkah itu bertujuan meningkatkan 
pendapatan pengusaha kraftangan di Perak terutama dalam pembuatan labu sayong 
tradisional dan moden serta produk lain termasuk besi dan kraf tenunan.

Beliau berkata dalam memenuhi pasaran eksport tersebut, pihaknya memberi penekanan 
terhadap kualiti pengeluaran dan reka cipta ke arah ketahanan produk untuk memenuhi 
kehendak piawaian antarabangsa.

"Kita akan menyertai pameran kraf di Astana, Kazakhstan dan Frankfurt di Jerman dalam 
mempromosi produk kraftangan labu sayong dan porselin tahun ini.

"Selain itu, kita juga akan mengadakan promosi dengan kerjasama Strategi Lautan Biru 
Kebangsaan (NBOS) di dalam negara sempena Tahun Melawat Perak ," katanya pada sidang 
media ketika melawat ke pusat pembuat Labu Sayong di Kampung Kepala Bendang, Sayong 
di sini hari ini.

Lawatan itu turut disertai 15 pelancong dari Tourism Malaysia Brunei, media dan 
Agensi Pelancongan Brunei  sempena program ''Fam Trip Discover Perak World Of Wonders 
2017''.

Mohd Yusof berkata pihaknya telah mengeksport kira-kira 2,000 biji labu sayong ke 
luar negara tahun lepas.

Dalam pada itu, katanya Projek Kraf Kampungku (KKK) di sini merupakan inisiatif  
untuk meningkatkan keupayaan dan pengukuhan usahawan melalui pembangunan produk dan 
meningkatkan kemahiran produktiviti.

Beliau berkata pembangunan itu digarapkan melalui keunikan produk, sejarah, budaya 
dan identiti sesuatu tempat sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi penduduk 
tempatan.

"Melihat kepada warisan dan kesenian yang ada di sini seperti labu sayong, produk 
besi, kraf tenunan dan sebagainya, kami yakin daerah ini berpotensi untuk menjadi 
pusat kraftangan terkemuka dan destinasi pelancongan utama di Malaysia," katanya.

Menurutnya, terdapat 99 usahawan kraf seramik yang bergiat aktif di sini dengan 61 
daripadanya merupakan usahawan produk labu sayong.

Sementara itu, pelancong Brunei Roslinah Sabtu, 51, berkata pembuatan labu sayong di 
sini amat unik kerana masih menggabungkan teknik tradisional.

"Budaya tradisional ini masih ada walaupun penggunaan cara moden sudah bertapak di 
sini," katanya yang pertama kali melawat ke pusat berkenaan.

Mohd Rakin Meludin, 26, pula berkata beliau tertarik dengan teknik pembuatan labu 
sayong sejak dari awal  hingga akhir kerana ia menarik dan unik.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment