Sunday, May 14, 2017

Program Free Market LZS Dapat Sambutan Ramai

SHAH ALAM, 13 Mei (Bernama) -- Program Free Market anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang diadakan sempena menyambut Ramadan tahun ini mendapat sambutan menggalakkan dengan menyaksikan pelbagai barangan antaranya pakaian, makanan dan buku didermakan kepada golongan yang memerlukan.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Stake Holder LZS, Norajun Ainon Mohd Hashim berkata program itu yang diadakan di perkarangan LZS dihadiri kira-kira 400 asnaf dan golongan berpendapatan rendah selain mendapat sokongan daripada penyumbang.

"Kira-kira 50 penyumbang telah mendermakan pelbagai barangan keperluan harian seperti baju, buku, beg dan barangan kelengkapan harian.

"Kami turut menerima sumbangan gula, beras dan minyak masak dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Rendah Seksyen 13," katanya ketika ditemui Bernama.

Tinjauan Bernama mendapati walaupun program tersebut sedang berlangsung, ramai penyumbang hadir menderma barangan berupa pakaian dan kelengkapan lain.

Tambah Norajun Ainon, program berkenaan diadakan dua kali setahun, pertama ketika menjelang Ramadan dan Syawal dan kedua pada Disember sebelum bermula musim persekolahan.

"Semua barangan telah diperiksa terlebih dahulu keadaannya dan diberi secara percuma kepada golongan asnaf dan golongan berpendapatan rendah yang hadir, mereka hanya perlu memilih apa yang mereka mahu dan kemudian mengucapkan terima kasih kepada penderma, tiada urus niaga melibatkan wang di sini," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment