Monday, May 29, 2017

PROPHETSTOR DAN INNOVIX PERKENALKAN PENYELESAIAN ANTI-PERISIAN TEBUSAN

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- ProphetStor Data Services Inc, dengan kerjasama 
Innovix Distribution telah memperkenalkan ProphetStor DR Prophet Software-Defined 
Data Protection, sebuah aplikasi anti-perisian tebusan yang membantu perusahaan untuk 
mengelak daripada menanggung kerugian selama bertahun-tahun.

Produk tersebut berupaya untuk mendapatkan semula mana-mana fail, folder, cakera dan 
seluruh pelayan daripada dirampas atau dicuri dan mengembalikan mereka kepada keadaan 
asal, kata ProphetStor dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Wilayah Asia Selatan ProphetStor, Simon Ng, berkata bundel penyelesaian 
anti-perisian tebusan ini agak unik kerana pelanggan boleh mencapai pemulihan pelayan 
sepenuhnya sehingga gambaran terakhir yang disimpan dalam masa hanya beberapa minit. 

Inovasi ini dijana oleh sistem berkos efektif, pelayan Hewlett Packard Enterprise 
yang membolehkan pelanggan yang mementingkan kos untuk meraih faedah daripada bundel 
penyelesaian, satu dalam semua .

"Pakej penyelesaian yang inovatif ini direka bagi perusahaan kecil dan sederhana 
dalam penjagaan kesihatan, makanan dan minuman, hospitaliti dan industri pembuatan, 
lokasi titik penjualan, pergudangan, inventori, kewangan dan sistem," kata Ng dan 
menambah pakej produk akan diedarkan oleh Innovix dan kini boleh didapati secara 
komersial kepada pengguna. 

ProphetStor Inc Data Services Inc yang beribu pejabat di Milpitas, California, 
ditubuhkan pada 2012 oleh pakar-pakar storan dengan pengalaman yang amat luas dalam 
platform pengkomputeran awan, penyimpanan rangkaian berasaskan perisian, perkhidmatan 
data, kesinambungan perniagaan dan pemulihan daripada bencana.

Sementara itu, Innovix Distribution, merupakan anggota Jardine Matheson Group yang 
tersenarai dalam Fortune Global 500 dan merupakan salah satu pengedar teknologi yang 
terkemuka di Asia sejak 60 tahun lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment