Friday, August 6, 2021

SEGI SOKONG PROGRAM IMUNISASI COVID-19 NEGARA

PETALING JAYA, 4 Ogos (Bernama) -- Lebih daripada 100 pelajar institusi pendidikan tinggi swasta terkemuka, SEGi University (Kampus Sibu) telah berjaya mendaftar sebagai sukarelawan bagi menyokong dalam melancarkan program imunisasi kerajaan di Pusat Panggilan Vaksin di Klinik Kesihatan Jalan Lanang, Sibu, Sarawak.

Pasukan SEGi berjaya membantu urusan vaksinasi lebih daripada 10,000 orang di Sibu dalam beberapa hari selepas pusat itu mula beroperasi. Ini merupakan pengalaman yang paling penting bagi doktor pakar, jururawat dan pelajar yang terlibat kerana mereka berpeluang untuk menjadi barisan hadapan dalam memerangi COVID-19, juga secara tidak langsung memberi mereka ruang untuk berbakti kepada negara.
 
Menurut Dekan Fakulti Perubatan SEGi University, Profesor Dr. Mohamad Raili bin Suhaili berkata, mereka dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan dan telah mendapat suntikan vaksin COVID-19.
 
“Buat masa ini, mereka akan bekerja di Pusat Panggilan Vaksin dan ditempatkan di kawasan berisiko rendah. Inisiatif ini bertujuan bagi membantu meringankan beban petugas barisan hadapan yang lain untuk merawat pesakit COVID-19, menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi mencapai “Herd Immunity” atau imuniti kelompok, serta menyokong pelaksanaan Sukarelawan MyVAC (Malaysia Vaccine Support Volunteers) dengan berkesan,” katanya.
 
Beliau turut memberitahu, usaha dan khidmat sukarelawan ini juga sekali gus akan meningkatkan jumlah pendaftaran PICK dan urusan penyampaian vaksin di negeri Sarawak secara khusus. Setiap individu telah diberikan latihan dan taklimat ringkas untuk memenuhi kriteria yang diperlukan dalam menguruskan panggilan kepada semua penerima vaksin yang dijadualkan dan menjawab segala pertanyaan. 

No comments:

Post a Comment