Wednesday, August 18, 2021

HAFIZUDDIN HIEW MENANG ANUGERAH KHAS ALUMNI@UMK MILLION DOLLAR AWARDS 2020

KOTA BHARU, 17 Ogos (Bernama) -- Pengasas TDC Holdings Sdn. Bhd. dan usahawan susu kolostrum C2Joy (Safe & Joy), Encik Mohd Hafizuddin Hiew bin Abdullah dianugerahkan Alumni@UMK (Million Dollar Awards) sempena Majlis Anugerah Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMKEA) 2020, pada 12 Ogos 2021.

Anugerah UMKEA anjuran Institut Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMKEI) telah diadakan  secara dalam talian menerusi platform Facebook Rasmi UMK.

Encik Mohd Hafizuddin Hiew berkata, kejayaan menerima anugerah khas UMKEA 2020 adalah di luar jangkaan kerana tidak pernah terlintas di fikirannya UMK akan mengiktiraf segala usaha dan kejayaannya menerusi anugerah sebegini rupa.

Katanya, anugerah ini amat istimewa kerana ini adalah satu-satunya anugerah bukan akademik yang diperolehi selepas tamat pengajian di UMK kerana sebelum ini hanya memperoleh Anugerah Dekan atau beberapa anugerah akademik lain-lain.

“UMKEA 2020 adalah pendekatan proaktif daripada UMK dalam usaha untuk mengiktiraf graduan, pensyarah dan alumni yang telah mengharumkan nama UMK melalui hasil kerja, perniagaan dan kejayaan mereka,” katanya.

Sementara itu, UMKEA 2020 turut mempertandingkan tujuh kategori lain iaitu Student Social Entrepreneurship Awards dimenangi oleh pemilik Phytophia Venture, Encik Ahmad Zaid Azri bin Ahmad Zakaria dari Fakulti Industri dan Asas Tani (FIAT) dan kategori SME@UMK Awards di raih oleh Puan Wan Noriah binti Wan Ramli (merupakan usahawan dan juga pemiliki Min House Camp).

Manakala Pengarah Urusan Khabilu Manufacturing Sdn. Bhd., Encik Hakimullah bin Khabilu memenangi kategori Alumni@UMK Awards dan pemenang Entrepreneurship Mentor Award dimenangi oleh pensyarah Fakulti Industri dan Asas Tani (FIAT), Encik Mohd bin Mahmud@Mansor.

HAFIZUDDIN HIEW MENANG ANUGERAH KHAS ALUMNI@UMK MILLION DOLLAR AWARDS 2020

No comments:

Post a Comment