Thursday, August 19, 2021

SEGI DEPANI CABARAN GLOBAL DI APCCSID 2021

PETALING JAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Universiti SEGi bekerjasama dengan International Bureau of Education (IBE-UNESCO), Universiti Malaya (UM), Asia Pacific Research Association on Curriculum Studies (APRACSI), dan Association of Professional in Curriculum and Educational Instruction (APROCEI) untuk menjadi tuan rumah Persidangan Asia Pasifik bagi Pengajian Kurikulum dan Perancangan Instruksional (APCCSID) pada Oktober 2021 dalam usaha untuk memperkasakan pelajar dari semua latar belakang sosio-ekonomi dengan ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai murni, dan perilaku positif untuk menangani cabaran global pada abad ke-21.
 
Bertemakan Kurikulum dan Reka Bentuk Instruksional untuk Pembangunan Lestari, APCCSID 2021 akan menyentuh dan mengutamakan perbincangan tentang peranan dan kesan pendidikan ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) UNESCO, kelestarian ke arah pendidikan inklusif, pendidikan nilai dan moral, pendidikan untuk Penggunaan dan Pengeluaran Lestari (ESCP), dan Kewarganegaraan Global sebagai pemboleh daya kritikal untuk kesemua SDGs.
 
Persidangan Antarabangsa ini akan memberi peluang untuk kolaborasi ilmu pengetahuan dan pengalaman di peringkat global dan juga di antara para sarjana akademik, pembuat dasar, dan pengamal dalam persekitaran antarabangsa sambil menyediakan platform untuk perbincangan dan kerjasama mengenai kajian kurikulum dan rancangan instruksional di kedua-dua peringkat institusi pendidikan rendah dan tinggi di Malaysia serta serantau.
 
Dengan menampilkan 25 penyampai utama dan penceramah, serta 12 panelis forum dari seluruh dunia, SEGi berharap dapat memberi peluang yang lebih baik kepada rakyat Malaysia untuk meningkatkan kesedaran mereka berkaitan landskap pemikiran lestari sebagai warganegara global. SEGi berharap usaha seperti ini mampu menerajui bidang pendidikan dalam menuju dan mencapai pembangunan lestari untuk masa depan yang lebih baik.
 
"Walaupun gaya pemikiran lestari dan bersepadu dapat meningkatkan kesejahteraan kita sebagai masyarakat dunia, ia juga menunjukkan bahawa kita tidak mewarisi dari nenek moyang kita, tetapi meminjam dari generasi berikutnya. Begitu juga dengan Education for Sustainable Development (ESD) yang menyedari bahawa kurikulum semasa bukan hanya untuk generasi sekarang tetapi juga untuk generasi masa depan,” kata Datin Dr Ng Soo Boon, Pengerusi Penganjur APCCSID 2021.
 
Dalam memastikan kurikulum dapat dilaksanakan dengan baik, latihan untuk guru-guru sangat penting, dan penyelidikan berterusan perlu dilakukan. Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Psikologi Universiti SEGi akan menjadi peneraju didalam bidang pendidikan di Malaysia dan serantau ke arah pendidikan untuk pembangunan lestari melalui program pendidikan guru di peringkat sarjana dan pascasiswazah.
 
Ketika dunia mula menangani krisis dan bencana yang belum pernah terjadi berikutan 'Code Red for Humanity' seperti yang dilaporkan oleh Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC), Universiti SEGi sebagai penganjur utama APCCSID 2021, percaya bahawa kurikulum mampu menentukan arah transformasi pendidikan di seluruh dunia dan di semua peringkat pendidikan menjadi lebih lestari untuk generasi akan datang, melalui kesedaran alam sekitar. Sinergi berterusan dan usaha bersepadu APCCSID diperlukan untuk mengurangkan jurang antara teori dan praktikal.
 
Dalam meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga global mengenai pentingnya landskap lestari, APCSSID 2021 akan membantu mengembangkan dan melaksanakan kurikulum yang bermatlamat. Ia menekankan kepada pengenalpastian dan kepatuhan kepada falsafah dan prinsip yang murni dan berterusan dalam pembelajaran untuk meningkatkan keupayaan pemikiran dan kemahiran menyelesaikan masalah pelajar secara umum.
 
Issued by SEGi 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14888

No comments:

Post a Comment