Wednesday, August 25, 2021

PROGRAM CSR HASIL PRIHATIN: LHDNM AGIH 750 BAKUL MAKANAN DI TERENGGANU

 KUALA TERENGGANU, 25 Ogos (Bernama) -- Sebagai menzahirkan komitmen dan menjunjung hasrat kerajaan bagi membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) terus menggerakkan program Tanggungjawab Sosial Korporatnya (Corporate Social Responsibility - CSR) melalui Program CSR Hasil Prihatin dengan menyumbangkan bakul makanan di Negeri Terengganu.

 
Pada kali ini sebanyak 750 bakul makanan telah diagihkan oleh YBhg. Datuk Mohd Jaafar Embong, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDNM kepada wakil-wakil penduduk di negeri ini melibatkan empat buah daerah iaitu Daerah Setiu, Hulu Terengganu, Marang dan Kuala Nerus. Majlis penyerahan sumbangan ini telah berlangsung di Dewan Pulau Redang, LHDNM Cawangan Kuala Terengganu, Kompleks Perniagaan PB Square, Kuala Terengganu.
  
Program ini merupakan kesinambungan kepada CSR LHDNM yang telah dilancarkan oleh Kementerian Kewangan di Kuala Lumpur pada 31 Julai 2021 yang lalu dan sebahagian daripada beberapa siri Program CSR Hasil Prihatin LHDNM yang akan melibatkan pejabat-pejabat LHDNM di seluruh negara.
 
Menurut YBhg. Datuk Mohd Jaafar Embong, penyerahan sumbangan ini bertujuan untuk memastikan keluarga-keluarga yang terkesan dalam tempoh penularan wabak COVID-19 ini mempunyai bekalan makanan serta keperluan asas yang mencukupi untuk meneruskan kehidupan harian.
 
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik Kamarudzaman B. Bahrain, Pengarah Pejabat Pengarah Negeri LHDNM Terengganu dan Kelantan serta pegawai-pegawai kanan LHDNM Cawangan Kuala Terengganu. 


Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 

Tarikh: 25 Ogos 2021


SUMBER : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)

No comments:

Post a Comment