Thursday, August 26, 2021

BUDAYA INOVATIF DAN KREATIF BERJAYA MEMPERKASAKAN KECEKAPAN PROSES PEJABAT TANAH DAN GALIAN NEGERI PERAK

 PETALING JAYA, 26 Ogos (Bernama) -- Budaya inovatif dan kreatif yang diterapkan secara menyeluruh telah berjaya meningkatkan kecekapan dan memperkasakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak. Penglibatan semua pekerja dalam aktiviti Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) telah dapat menjana idea-idea baharu dan kreatif dalam melaksanakan inisiatif penambahbaikan secara berterusan supaya penyampaian perkhidmatan terbaik dapat diberikan melalui penggunaan sumber-sumber sedia ada secara berkesan.

 
Johan projek inovasi Kategori Sektor Awam (Negeri) Konvensyen Team Excellence (TE) 2020 peringkat kebangsaan anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ini telah melaksanakan penambahbaikan melalui projek inovasi proses bagi menyelesaikan isu kesukaran operasi pemantauan pergerakan keluar bahan batuan dan mineral dari negeri Perak.  
 
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah menganjurkan Program Perkongsian Amalan Terbaik secara atas talian bagi berkongsi dan menyebar luas amalan terbaik daripada pemenang Konvensyen Team Excellence (TE) 2020 peringkat kebangsaan dan telah dihadiri oleh 278 peserta dari pelbagai sektor. Menurut Dato’ Abdul Latif Haji Abu Seman, Ketua Pengarah, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), “Perkongsian ini telah berjaya meningkatkan motivasi dan memberi galakan kepada semua peserta untuk menanda aras inisiatif penambahbaikan melalui projek inovasi proses”.  
 
Dalam program perkongsian amalan terbaik ini, Encik Mohd Hidhayat Mansor, Penolong Pengarah, Unit Penguatkuasaan dan Teknikal PTG Negeri Perak, berkata “Sebelum penambahbaikan dijalankan, PTG Negeri Perak telah mengalami kerugian sebanyak RM3.6 juta sebulan kerana kesukaran memantau aktiviti pengambilan pasir dari pihak yang tidak bertangungjawab”. Kerugian ini bukan sahaja ditanggung oleh kerajaan negeri bahkan memberi kesan terhadap alam sekitar. Justeru itu, usaha meningkatkan keberkesanan proses pemantauan ke atas aktiviti pemindahan bahan batuan dan mineral telah menjadi pemangkin kepada inisiatif penambahbaikan di PTG Negeri Perak”.
 
Menurut beliau lagi, “PTG Negeri Perak telah mengambil beberapa langkah bagi menangani masalah tersebut. Pertama, menubuhkan Pusat Kawalan Setempat (Command Centre) untuk menyelaras operasi pemantauan bahan batuan dan mineral keluar dari negeri Perak. Pusat ini berjaya mengintegrasikan maklumat pergerakan keluar bahan batuan dan mineral yang diberikan oleh pelbagai agensi penguatkuasa seperti Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan lain-lain agensi yang berkaitan. Kedua, PTG Negeri Perak berjaya membangunkan pangkalan data Quantum Geographic Information System (QGIS) bagi pematuhan pintar sempadan kuari dan bahan binaan yang lebih berkesan. Ketiga, sistem drone telah digunakan untuk memantau aktiviti pengambilan bahan batuan dan mineral dengan lebih efektif. Akhir sekali, sistem e-Report telah dibangunkan bagi mengurangkan masa penjanaan laporan tangkapan pelanggaran syarat dari 144 jam kepada 1 jam.
 
Mohd Hidhayat turut menyatakan “Peningkatan kutipan hasil royalti bahan batuan dan mineral sebanyak 43% sebulan menunjukkan projek inovasi yang dijalankan telah meningkatkan keberkesanan proses pemantauan dan penguatkuasaan pemindahan bahan batuan dan mineral oleh PTG Negeri Perak".
 
Penglibatan dalam budaya inovatif dan kreatif telah meningkatkan motivasi semua pekerja untuk menambahbaik proses secara berterusan tanpa melibatkan kos yang tinggi. Inisiatif ini sangat signifikan dalam mentransformasikan idea ke dalam operasi harian yang mana ia dapat meningkatkan kecekapan bekerja dan akhirnya memaksimumkan hasil negeri.
 
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC):
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ialah sebuah Badan Berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). MPC menjalankan aktiviti bagi peningkatan produktiviti, kualiti dan daya saing. Visi utama MPC ialah menjadi peneraju dalam meningkatkan produktiviti ke arah daya saing global yang kompetitif dan berinovasi. 


SUMBER : Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) 

No comments:

Post a Comment