Wednesday, July 31, 2019

MELINDUNGI SUNGAI SECARA AKTIF DAN KREATIF

GOMBAK, 29 Julai (Bernama) -- Seramai 42 orang pelajar daripada 10 buah sekolah menengah telah menyaksikan pelancaran Anugerah Hijau 2019 di Jungle Lodge Alang Sedayu bersama guru-guru penasihat mereka. Majlis pelancaran ini telah dilangsungkan selepas berjayanya Bengkel Finalis Anugerah Hijau dijalankan dari 26hb sehingga 28hb Julai 2019. Turut menghadiri majlis pelancaran ini ialah Tuan Haji Md. Khairi Bin Selamat, Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dan Encik Fadly Bakhtiar, Pengarah Program EcoKnights.

Anugerah Hijau merupakan satu pertandingan yang diadakan bawah program Sungai Nadi Kehidupan (River of Life) iaitu satu projek pemuliharaan Sungai Klang yang diterajui oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan JPS. Pertandingan ini dianjurkan untuk menggalakkan penglibatan pelajar-pelajar sekolah menengah Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam pemeliharaan dan pemuliharaan secara tidak langsung terhadap sungai-sungai di Lembah Klang.

“Dengan tema Pelindung Sungai Klang, Anugerah Hijau 2019 ingin meninjau kebolehan dan keupayaan para pelajar untuk berfikir secara kreatif bagi menyelesaikan masalah isu-isu alam sekitar yang menyumbang kepada pencemaran sungai dan seterusnya membentuk golongan muda yang sayangi sungai kita,” kata Tuan Haji Md. Khairi.

Dua kategori yang ditandingkan pada tahun ini ialah Aktif Sepenuhnya (memfokuskan cara pengurusan sisa di sekolah) dan Sememangnya Kreatif (menghasilkan filem pendek tentang sungai). Sebanyak lapan kumpulan finalis telah dipilih untuk setiap kategori. Sekolah-sekolah finalis kategori Aktif Sepenuhnya ialah SMK Taman Kosas, SMK Shah Alam, SMK Seri Ampang, SMK Dato Ahmad Razali, SMK Darul Ehsan, SM Sains Alam Shah, SMK Kepong, dan SMK Aminuddin Baki manakala sekolah finalis kategori Sememangnya Kreatif ialah SMK Sungai Besi (dua kumpulan), SMK Shah Alam (dua kumpulan), SMK Dato’ Onn, SM Sains Alam Shah, SMK Darul Ehsan, dan SMK Aminuddin Baki. Para finalis dipilih melalui kertas cadangan yang dihantarkan sebelum bulan Julai.

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=12384

No comments:

Post a Comment