Saturday, May 7, 2016

Ubah Islamophobia melalui pelancongan

Kuala Lumpur: Pendekatan menerusi kegiatan pelancongan dilihat sebagai satu cara yang boleh diambil dengan lebih proaktif oleh kerajaan Malaysia bagi mengubah persepsi negatif Barat terhadap Islam terutama apabila melabelkan agama itu dengan keganasan.

Pengerusi Yayasan Nawawi di Amerika Syarikat (AS), Sheikh Dr Umar Faruq Abd-Allah berkata, usaha itu antara perkara yang boleh dilakukan masyarakat Islam di Asia Tenggara yang turut berdepan pandangan negatif Barat.

Katanya, usaha perlu dilakukan untuk memberi pendedahan kepada mereka terhadap keindahan dan realiti masyarakat Islam sebenar.

“Antara perkara yang boleh dilakukan ialah dengan menggalakkan aktiviti pelancongan lebih mesra bagi menjemput masyarakat Barat dan AS untuk ke negara ini serta tunjukkan kepada mereka mengenai keindahan Islam sebenar.

‘Tidak kira sama ada tradisi masyarakat di bandar atau pun di kampung. Dedahkan kepada masyarakat luar terhadap perkara seperti ini. Ia dilakukan dalam keadaan di mana dakwah itu tidak dilakukan secara terang-terangan,’ katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Awam bertajuk ‘Balancing Reason and Tradition in Contemporary Context’ di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini, kelmarin.

Kuliah Awam itu dihadiri 150 jemputan terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan serta individu.

Mengenai perkembangan Islam di AS, Dr Umar Faruq berkata, beliau yakin penyebaran Islam akan terus berkembang di sebalik cabaran besar yang melanda dalam masyarakat Islam dan sehingga kini bilangan penganut Islam di negara itu mencecah sekitar enam hingga tujuh juta orang.


Sumber : Harian Metro (6 Mei 2016)

No comments:

Post a Comment