Monday, May 16, 2016

Sistem Jaminan Kualiti Malaysia Diiktiraf Setanding Jerman - MQA


KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Sistem jaminan kualiti Malaysia diiktiraf dunia apabila mendapat pencapaian sangat tinggi dalam satu daripada kategori berdasarkan laporan kajian British Council baru-baru ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa.


Beliau berkata laporan itu, yang bertajuk 'The Shape of Global Higher Education: National Policies Framework for International Engagement', menilai 26 negara dan Malaysia diletakkan sebaris dengan Jerman sebagai antara negara terbaik dari segi dasar keterbukaan pengantarabangsaan pendidikan tinggi.


"MQA merupakan badan jaminan kualiti nasional yang menyumbang satu daripada tiga petunjuk utama yang diukur iaitu jaminan kualiti dan pengiktirafan.


"Dua petunjuk utama lain ialah keterbukaan mobiliti antarabangsa untuk penuntut dan ahli akademik serta akses dan kemampanan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Rujhan berkata pengiktirafan itu turut disumbangkan oleh pelaksanaan standard dan kriteria jaminan kualiti yang ditanda aras di peringkat antarabangsa seperti yang terkandung di dalam Kod Amalan Akreditasi Program (COPPA) dan Kod Amalan Audit Institusi (COPIA) serta standard program.


Antara kriteria penilaian akreditasi yang dilaksanakan termasuklah aspek kemasukan dan pemilihan pelajar serta pengajaran dan penilaian pelajar yang terpakai kepada semua pelajar tempatan dan antarabangsa.


"COPPA dan COPIA yang dikuatkuasakan pada 2008 telah menggariskan kriteria itu secara jelas dan dijadikan panduan kepada Institusi Pengajian Tinggi dan penawaran program pengajian berkualiti kepada pelajar antarabangsa.


"Kod amalan ini dan beberapa garis panduan jaminan kualiti yang lain turut terpakai terhadap program pengajian yang ditawarkan oleh kampus cawangan universiti luar negara di Malaysia," katanya.


Selain itu, Rujhan berkata kepakaran MQA dalam aspek jaminan kualiti dan kerangka kelayakan turut diperakui dan menjadi rujukan pelbagai pihak berkepentingan di peringkat antarabangsa terutamanya di rantau ASEAN.


MQA berperanan aktif dalam jaringan serantau dan antarabangsa dan melakar kecemerlangan di peringkat ASEAN sebagai pengasas dan diberi kepercayaan mengetuai ASEAN Quality Assurance Network (AQAN) sebagai presiden pada 2008 hingga 2014.


Di samping itu, MQA menjadi badan jaminan kualiti pertama di Asia yang diiktiraf mematuhi garis panduan amalan baik International Network for Quality Assurance Agencies in Higher Education (INQAAHE) yang berpangkalan di Barcelona pada September 2014.


"Hasil kajian British Council ternyata mengukuhkan lagi pengiktirafan MQA di persada antarabangsa," kata Rujhan.  


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment