Saturday, May 14, 2016

Fasa Kedua Perumahan Generasi Baharu Felda Bermula Julai - Isa Samad

BERA, 13 Mei (Bernama) -- Pembinaan fasa kedua Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) berharga RM70,000 bakal bermula pada Julai ini di Tanah Rancangan Felda yang dikenal pasti di seluruh negara.

Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata pembinaan itu akan melibatkan keseluruhan 11,000 unit rumah secara berperingkat dan dijangka siap menjelang penghujung 2017.

"Maklumat awal terdapat pemaju yang memberi jaminan mampu menyiapkan sebuah rumah dalam masa lima hari mengunakan kaedah Sistem Bangunan Berindustri (IBS)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Semai Bakti Felda Purun di sini, hari ini.

Mohd Isa menambah pihaknya akan memilih pemaju yang benar-benar berkelayakan dan berkemampuan bagi memastikan pembinaan perumahan berkenaan berjalan dengan baik dan mengikut jadual.

Beliau juga memaklumkan sebanyak 1,480 unit Perumahan Generasi Baharu Felda fasa pertama telah ditawarkan kepada pembeli di seluruh negara.

Baki kira-kira 2,000 unit rumah dalam fasa pertama itu berada dalam pelbagai peringkat pembinaan yang dijangka siap dalam masa terdekat, katanya.

Mengulas mengenai pembinaan Dewan Semai Bakti yang akan dilakukan di seluruh tanah rancangan Felda, Mohd Isa berkata ia membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan Tanah Rancangan Felda secara berterusan.

Sebanyak 217 daripada 317 tanah rancangan di seluruh negara telah memiliki dewan serbaguna itu yang dianggar bernilai kira-kira RM1 juta sebuah, katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment