Saturday, May 28, 2016

Euromonitor International Lancar Pangkalan Data Label Beretika Baharu


KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Euromonitor International hari ini melancarkan pangkalan data label beretika baharu di London susulan perkembangan ke arah kelestarian dan ketelusan label.

Menurut syarikat penyelidikan pasaran global itu, label halal dan vegetarian akan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun melebihi lima peratus antara 2015 dan 2020.

"Ini menjadikan jualan tambahan US$13 bilion bagi label halal dan US$708 juta bagi label vegetarian," menurut syarikat itu dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ketua Kesihatan dan Kesejahteraan Euromonitor, Ewa Hudson berkata permintaan daging halal meningkat secara mendadak memandangkan ia adalah perkara penting kepada masyarakat Islam.

"Masyarakat Islam berkembang dengan kukuh di peringkat global dan dijangka mencecah kira-kira 26 peratus daripada jumlah penduduk dunia pada 2030.

"Produk halal dijangka mencecah US$58.3 bilion pada 2020 daripada US$45.3 bilion ketika ini, dipacu oleh kepelbagaian ethnik dan agama," katanya.

Sementara itu, tiga pasaran vegetarian utama yang berkembang pesat antara 2015 dan 2020 adalah China pada 17.2 peratus, Emiriyah Arab Bersatu pada 10.6 peratus dan Australia sebanyak 9.6 peratus.

"Pelabelan produk vegetarian adalah kategori utama pada masa depan memandangkan syarikat berkenaan memperluaskan permintaan pengguna dengan mengelak daripada bahan berasaskan haiwan.

"Peningkatan permintaan dan aliran bagi vegetarian dan protein sayur-sayuran menunjukkan hala tuju pasaran itu ketika ini," kata Hudson.

Pada 2015, pasaran global bagi makanan dibungkus, minuman ringan dan minuman panas berlabel secara beretika, tidak termasuk label persendirian, menyumbang US$793.8 bilion dan dijangka mencecah US$872.7 bilion pada 2020.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment