Monday, May 9, 2016

Bank Muamalat Malaysia Berhad Serah Bangunan, Van Kepada Pusat Pendidikan Islam Di Kelantan



TANAH MERAH, 8 Mei (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Berhad melalui Wakaf Selangor Muamalat hari ini menyerahkan sebuah blok bangunan akademik dan van kepada dua pusat pendidikan agama Islam di Kelantan.

Pengerusinya Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid berkata blok bangunan akademik bernilai RM468,587 itu diserahkan kepada Sekolah Rendah Ugama (SRU) Arab Darul Ulum Diniah, Tanah Merah manakala sebuah van bernilai RM109,590 diserahkan kepada Maahad Tahfiz Az-Zainab, Pasir Mas.

"Sumbangan blok bangunan akademik dua tingkat ini bagi menggantikan bangunan kayu sekolah yang rosak akibat banjir pada 2014. Kita berharap ia akan memberi keselesaan kepada pelajar.

"Van jenis Toyota Hiace itu pula diharap memberi kemudahan kepada pelajar maahad berkenaan yang akan menjadi pelapis celik al-Quran selain cemerlang dalam bidang akademik," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan dan perasmian bangunan akademik sumbangan Wakaf Selangor Muamalat kepada SRU Arab Darul Ulum Diniah di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Tengku Ab Rahman Tuan Yunus dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Mohd Munir berkata Wakaf Selangor Muamalat adalah program kutipan dan agihan dana wakaf tunai yang dilancarkan pada Sept 2012 bertujuan memberi kemudahan kepada pelanggan bank serta orang awam untuk berwakaf.

"Sehingga April 2016, Wakaf Selangor Muamalat telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM4,716,169 dalam pelbagai bentuk bantuan peralatan kesihatan dan pendidikan selain agihan ke sektor pelaburan," katanya.

Mohd Munir berkata sumbangan Wakaf Selangor Muamalat tidak terhad kepada umat Islam sahaja tetapi turut memberi manfaat kepada golongan bukan Islam yang secara tidak langsung memberi persepsi baik di kalangan masyarakat bukan Islam mengenai Islam.

Beliau turut merasmikan pembukaan cawangan baharu bank berkenaan di Tanah Merah hari ini yang merupakan cawangan kelima di Kelantan, menjadikannya cawangan bank ke-61 di seluruh negara.

Sementara itu, Pengetua SMU (A) Darul Ulum Diniah Che Omar Ismail berkata pihak sekolah amat berterima kasih dan bersyukur dengan bantuan itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment