Thursday, May 19, 2016

Malaysia Sedia Beralih Kepada Perakaunan Berasaskan Akruan Dalam Pengurusan Kewangan Awam

Oleh Niam Seet Wei

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Pengurusan kewangan awam Malaysia dilihat bersedia untuk beralih kepada perakaunan berasaskan akruan bagi menyediakan penggunaan dan perbelanjawan lebih baik untuk kesejahteraan rakyat pada masa depan.

Pengerusi Institut Kewangan Awam dan Perakaunan Bertauliah (CIFPA), Ian Ball berkata kerajaan komited untuk mengubah sistem itu daripada kaedah berasaskan tunai ketika ini supaya pengurusan kewangan dalam sektor awam menjadi lebih baik.

Beliau yakin sistem pengurusan kewangan Malaysia akan lebih baik jika perubahan itu dilaksanakan secara berterusan dan sepenuhnya.

Selain Malaysia, katanya, negara membangun lain seperti China, India dan Mongolia turut beralih kepada perakaunan berasaskan akruan dalam sistem pengurusan kewangan awam masing-masing.

"Sistem berkenaan adalah setara dengan sistem negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan Kanada.

"Kebanyakan kerajaan digalakkan menggunapakai kaedah akruan untuk kebertanggungjawapan dan ketelusan yang lebih baik," katanya kepada Bernama di luar Persidangan Pengurusan Kewangan Sektor Awam 2016 di sini, hari ini.

Pada 2010, kerajaan memperkenalkan Insiatif Pembaharuan Strategik (SRI) yang antaranya meliputi kewangan awam di bawah Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), sebuah badan pemikir bebas yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

SRI kewangan awam itu bertujuan mengukuhkan kewangan kerajaan dalam memastikan kestabilan dan kemampanan dana awam.

Bagi mencapai kejayaan SRI kewangan awam, MPEN mengesyorkan empat langkah dasar fiskal antaranya menggunapakai perakaunan akruan untuk pengurusan fiskal berhemat.

Difahamkan kerajaan akan melaksanakan kaedah akruan ini dalam tempoh terdekat.

Perakaunan berasaskan tunai merupakan kaedah lazim digunakan oleh perniagaan kecil dan beberapa entiti kerajaan, dengan urus niaga dicatatkan apabila wang diterima dan perbelanjaan hanya berlaku apabila ia dibayar.

Bagaimanapun bagi perakaunan akruan, urus niaga diambil kira apabila tempahan atau perkhidmatan dijalankan, tanpa mengambil kira bila pembayaran atau penerimaan wang dibuat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIPFA, Rob Whiteman berkata memandangkan banyak negara telah berubah kepada kaedah berasaskan akruan, Malaysia boleh mempertimbangkan dasar fiskal dalam konteks penuh maklumat kewangan, bukan hanya defisit atau hutang, namun turut melihat kepada lembaran imbangan dan menjadikan ia antara petunjuk fiskal.

"Jadi, belanjawan akan menjadi unjuran secara berkesan, daripada hanya sebagai penyata kewangan kerajaan," katanya.

Seminar setengah hari bertema 'Memacu Penambahbaikan dalam Penyampaian Perkhidmatan' hari ini dianjurkan bersama Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan CIPFA, badan perakaunan untuk sektor awam yang terkemuka dan menyediakan pendidikan, latihan dalam perakaunan dan pengurusan kewangan.

Acara itu menumpukan kepada bagaimana transformasi berterusan Malaysia dan sistem pengurusan kewangan awam global boleh ditingkatkan lagi untuk memberi manfaat kepada rakyat dan negara keseluruhannya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment